Jenayah

Guna lapangan terbang Semporna buru musuh

sabah diceroboh

KOTA KINABALU – Persidangan Dun Sabah mengecam insiden serangan hendap oleh sekumpulan pengganas bersenjata di Pulau Mabul, Semporna, 12 Julai lalu, yang meragut nyawa seorang anggota polis marin, manakala seorang lagi diculik.

Ketika mambahaskan Usul insiden serangan hendap oleh kumpulan penculik untuk tebusan ke atas dua orang anggota polis marin di Pulau Mabul berkenaan, 14 Adun yang mengambil bahagian dalam perbahasan itu menganggap insiden berkenaan amat serius dan perlu tindakan tegas kerajaan.

Datuk Seri Nasir Tun Sakaran (BN-Senallang) menggesa supaya langkah-langkah penambaikan benteng keselamatan di kawasan pantai timur Sabah disegerakan terutama di kawasan ‘lubuk pengganas’ bagi membendung insiden pencerobohan penjenayah rentas sempadan.

Nasir berkata, peristiwa serang hendap di Pulau Mabul membuktikan bahawa penjenayah yang dahulunya dikenali sebagai ‘mundu’ bukan lagi gemar merompak dan menculik, malah terdesak untuk menjadikan anggota keselamatan yang bertugas di kawasan keselamatan sebagai sasarannya.

“Saya ingin mengesyorkan agar lapangan terbang Semporna yang kini terbiar, dibaikpulih serta dilengkapi dengan prasarana penyelenggaraan bagi membolehkan ia digunakan oleh pesawat pihak keselamatan,” katanya.

Katanya dengan adanya kemudahan berkenaan ia akan membolehkan pemburuan atau usaha menjejaki musuh dapat dilakukan dengan cepat dan pantas sebaik mendapat maklumat atau laporan mengenai kejadian tidak diingini.

Usul itu dibawa Adun Pantai Manis Datuk Abdul Rahim Ismail bertujuan membahaskan usul insiden serangan hendap oleh kumpulan penculik untuk tebusan ke atas dua orang anggota polis marin di Pulau Mabul pada 12 Julai, jam 11.05 malam.

Datuk Yusop Apdal (BN-Lahad Datu) pula mencadangkan supaya kerajaan mengharamkan sementara waktu penggunaan ‘pump-boat’ yang  digelar ‘raja lautan’ kerana sifatnya yang bersaiz kecil, laju, mudah menyelinap di kawasan bakau serta air cetek malah mudah dikendalikan oleh semua peringkat umur dan senang disembunyikan sekalipun di atas rumah.

“‘Pump-boat’ dikenal pasti sebagai kenderaan air yang banyak menyumbang kepada aktiviti penyeludupan rentas sempadan, aktiviti  pengeboman ikan, penyeludupan manusia dan pelbagai lagi jenayah marin.

“Kita tidak perlu bertolak ansur terhadap penggunaan pump-boat oleh  nelayan mahupun kegunaan pengangkutan,” katanya.

Yusop juga bersetuju dengan keputusan kerajaan memberi lampu hijau kepada pasukan pertahanan untuk melepaskan tembakan kepada kumpulan yang disyaki dan tindakan menembak ke arah sebarang pergerakan pump-boat di perairan negara selepas langkah pengharaman jenis pengangkutan itu dikuatkuasakan.

Datuk Jonistan Bangkuai (BN-Kiulu) berkata, kerjasama antara Malaysia dan Filipina penting dalam menangani isu keselamatan di pantai timur Sabah, terutama di perairan negara yang berkongsi sempadan dengan Filipina.

Beliau berkata kerajaan perlu meminta bantuan Filipina untuk mencari dan menahan pemimpin Barisan Pembebasan Bangsamoro (MNLF) Nur Misuari yang dipercayai dalang dalam insiden penculikan yang berlaku di pantai timur Sabah.

“Pada 2001, semasa pergolakan di selatan Filipina, Nur Misuari melarikan diri ke Sabah dan kerajaan Filipina telah meminta kerajaan Malaysia untuk menjejak Nur Misuari dan menyerahkannya semula kepada Filipina.

“Kita telah memberi kerjasama ikhlas untuk mencari Nur Misuari yang menyusup masuk negara ini. Bagaimana kalau kita minta Filipina untuk mencari Nur Misuari untuk dibawa ke muka pengadilan (berhubung insiden penculikan di Sabah),” katanya.

Datuk Dr Jeffrey Kitingan (Star-Bingkor) pula meminta agar sebuah pusat penapisan kemasukan rakyat asing diwujudkan di Sapulut, Keningau.

Jelasnya, Keningau juga terdedah kepada kemasukan pendatang asing melalui jalan Kalabakan-Keningau dan pedalaman bawah Sabah yang berkongsi sempadan dengan Indonesia. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");