Membawang Hari Ini

Heliza & misi kemanusiaan

heliza

SAAT masyarakat Islam di seluruh dunia sedang menikmati Ramadan, dunia dikejutkan dengan tindakan tentera rejim Israel yang menyerang rakyat Palestin di Gaza.

Sehingga kini, dilaporkan lebih 100 rakyat Palestin terkorban manakala ratusan lagi cedera hasil serangan roket bertubi-tubi tentera rejim Israel terhadap Gaza yang kini sudah memasuki hari kelapan.

Prihatin dengan kejadian yang berlaku, timbul satu keinsafan bagi umat Islam dalam menghulurkan bantuan menerusi pelbagai badan bukan kerajaan (NGO).

Tidak hanya masyarakat biasa, golongan selebriti turut berganding bahu sama-sama membantu dalam mengurangkan penderitaan dan kesengsaraan yang menimpa penduduk Palestin.

Antara selebriti yang aktif dalam aktiviti berkebajikan ialah pelakon dan penyanyi kecil molek, Heliza Helmi menerusi penyertaannya dalam pelbagai aktiviti dalam NGO seperti Muslim Care dan Aman Palestin.

“Sepanjang Ramadan ini, aktiviti kerjaya seni saya dikurangkan, tapi. saya banyak terlibat dengan kerja-kerja amal seperti terlibat dalam program Sebarkan Kasih Sayang di bawah NGO, Muslim Care.

“Menerusi program ini, saya dan beberapa artis lain seperti Afdlin Shauki, Neelofa, Diana Amir, Salima Habibi dan Aziz M Osman akan sama-sama mengutip derma bagi meringankan penderitaan masyarakat Palestin dan Syria.

“Kami juga bakal menjelajah ke Utara Semenanjung bagi tujuan sama dan sasaran kami adalah untuk mengumpul sebanyak RM1 juta untuk dibawa ke Syria,” katanya ketika ditemui selepas pelantikannya sebagai duta Sunsilk, baru-baru ini.

Tambahnya, selain mengutip dana untuk Muslim Care, kudratnya turut dikerah bersama NGO Aman Palestin. “Saya memang aktif dalam membuat misi kemanusiaan dengan Aman Palestin,” katanya.

Sebagai seorang yang aktif dalam melaksanakan misi kemanusiaan, Heliza turut sempat berkongsi pengalamannya sendiri ketika mengunjungi wilayah bergolak, Syria, kira-kira sebulan lalu.

Selama seminggu di sana, pelantun lagu La Tahzan ini memberitahu, keadaan masyarakat Palestin di Syria jauh lebih dahsyat sehingga menimbulkan rasa insaf dan bersyukur di hatinya dalam menempuhi kehidupan.

Tidak cukup setakat itu, pelakon filem Syurga Cinta ini turut tersentuh dan sebak apabila melihat kehidupan penduduk di sana terutamanya kanak-kanak.

“Keadaan di sana serba daif, makanan minuman tidak mencukupi. Ada bayi yang saya jumpa umurnya baru 20 hari, tapi mukanya kelihatan sangat tua lantaran tidak cukup zat, khasiat dan vitamin.

“Bahkan, jika mereka (penduduk) tidak mendapat bantuan, mereka makan apa yang dimakan oleh kambing. Malah, ada juga yang buat sup kotak. Sup kotak itu bermakna kotak yang direndam di dalam air,” ceritanya yang mengikuti rombongan Palestin.

Bukan itu saja, ketika kedatangannya ke negara berkenaan, semua rombongannya juga dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan hanya mengikut arahan yang diberikan.

“Ketika itu, sniper ada di merata-rata tempat. Memang kami melalui kawasan gencatan senjata, tetapi bunyi bom tu ada di mana-mana saja.

“Bunyi bom terlalu banyak. Saya hanya sempat kira sehingga 50 sebab lepas itu saya dah tak larat nak mengira,” katanya.

Jelasnya lagi, saban hari apabila membuka berita di Al-Jazeera, hanya mendengar perihal kematian.

Ketika ditanya mengenai soal keselamatannya, Heliza bagaimanapun mengakui dia amat bersyukur dengan kekuatan yang diperolehnya.

“Alhamdulillah. ALLAH SWT bagi kekuatan pada saya. Lagi pun kematian itu berlaku di mana-mana saja,” katanya.

Tambahnya, hatinya tidak tenang sekiranya tidak melihat keadaan yang berlaku di sana secara realiti.

“Saya ini lebih pada visual. Saya mahu melihat sendiri keadaan di sana untuk dibawa kepada masyarakat kita supaya mudah untuk kita mengutip dana.

“Apa yang saya tahu, untuk membebaskan Palestin, kita perlulah memerdekakan bumi Syria terlebih dulu kerana pintu masuk untuk bebas Palestin adalah bumi Syria,” katanya.

Puji Neelofa, Felixia Yeap

Heliza sempat memberi pandangannya mengenai penghijrahan begitu ramai selebriti sejak akhir-akhir ini.

Malah, dia juga sentiasa berharap agar lebih ramai lagi selebriti akan berhijrah menjadi lebih baik suatu hari nanti.

“Saya sangat bersyukur apabila semakin ramai artis kini sudah berhijrah.

“Hijrah bukanlah hanya sekadar menutup rambut, tetapi jika seseorang itu berubah dari buruk kepada yang baik. Itu juga boleh dikatakan sebagi berhijrah,” katanya.

Bukan itu saja, pelakon drama Warkah Cinta ini juga memberitahu, dia kagum dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh model Felixia Yeap dan aktres Neelofa yang kini sudah berhijrah dan berusaha mendalami agama Islam.

Katanya, kedua-dua selebriti itu menunjukkan semangat untuk menjadi Muslim yang lebih baik berbanding sebelumnya.

“Alhamdulillah pintu hati mereka terbuka untuk berhijrah sehinggakan saya sendiri berasa kagum dengan usaha mereka yang bersungguh-sungguh mahu mendalami Islam.

“Contohnya, Felixia. Dia setiap minggu hadir ke kelas agama dan ada satu ketika dia datang dengan teksi kerana tidak tahu lokasi usrah diadakan.

“Bahkan, Neelofa turut tidak pernah ketinggalan dalam menyertai kelas-kelas agama,” katanya

Katanya lagi, kesungguhan mereka membuatkan dirinya berasa malu kerana sering memberi pelbagai alasan jika tidak hadir ke kelas-kelas agama yang dianjurkan Usrah Fitrah.

“Saya lihat Felixia sangat rajin dan bila tidak dapat datang ke kelas belajar agama, dia rasa sedih dan saya pula jadi malu kerana sering bagi alasan jika tidak dapat hadir,” katanya.

Soal jodoh serah kepada ALLAH SWT

Dalam pada itu, dek terlalu sibuk dengan perkembangan kerjaya seninya dan aktif dalam berkebajikan menyebabkan Heliza mengakui tidak memikirkan soal mendirikan rumah tangga,

Artis berusia 28 tahun ini sebaliknya menyerahkan soal jodohnya kepada ALLAH SWT.

“Soal jodoh, saya serahkan kepada ALLAH SWT sebab saya pun tidak tahu bila saya akan kahwin. Sehingga sekarang, saya masih lagi dengan kehidupan solo.

“Fokus saya kini hanya pada kerjaya dan aktiviti kebajikan saya,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai soal jodohnya itu, Heliza memberitahu, dia cukup bertuah kerana keluarganya tidak pernah mendesak.

“Keluarga saya sangat memahami tentang itu. Apatah lagi, kakak saya pun masih belum lagi berkahwin. Tetapi, walau apa pun, saya hanya berdoa agar ditemukan dengan lelaki yang baik satu hari nanti,” katanya.

Sementara itu, Heliza telah dilantik sebagai duta baharu syampu Sunsilk: Lively Clean & Fresh, baru-baru ini.

Begitu pun, sebelum dilantik menjadi duta, Heliza telah pun menjadi wajah iklan bagi syampu ini selama empat tahun.

Mengulas lanjut, Heliza mengakui terkejut dan terharu apabila menerima tawaran tersebut.

“Sebelum ini, saya hanya jadi model iklan syampu berkenaan selama empat tahun.

“Saya memang pengguna syampu ini sejak dulu dan ia adalah satu-satunya produk yang menyokong wanita berhijab,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Heliza kini sedang dalam proses menyiapkan album terbarunya, Jom Selawat.

Jika tiada aral melintang album itu dijangka dilancarkan sebelum penghujung tahun ini.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");