Perak Hari Ini

Hubungan Harmoni Antara Kaum Pra-syarat Kekal Keamanan: Sultan Nazrin

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah mengingatkan hubungan harmoni di kalangan rakyat yang berbilang kaum dan agama adalah pra-syarat untuk mengekalkan keamanan yang dinikmati negara hari ini.

Titah baginda, keamanan yang dinikmati rakyat Malaysia adalah satu nikmat kerana keamanan di kalangan umat Islam di negara tertentu kini hanya tinggal dalam impian.

Rakyat di Palestin tegas baginda, terus menanggung derita akibat perbuatan kejam lagi zalim Israel.

“Keamanan hendaklah dipelihara dan sebagai sebuah negara yang mempunyai rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, hubungan harmoni di kalangan warga adalah prasyarat kepada hidup yang rukun dan aman.

“Suara kedamaian ini hendaklah dipupuk dan terus disuburkan,” titah baginda sempena perutusan Hari Raya Aidilfitri 1435 M yang disambut umat Islam di seluruh negara, hari ini.

Sultan Nazrin bertitah lagi, Aidilfitri adalah anugerah Ilahi kepada para hambaNya yang telah berjaya menyempurnakan ibadah berpuasa.

“Ia hari kemenangan kepada insan yang berjaya memerangi nafsu dan susana riang dilimpahkan sebaik Syawal muncul di ufuk, hendaklah disambut dengan takbir dan tahmid menandakan kemenangan.

“Aidilfitri adalah salah satu hari kebesaran umat Islam dan disambut dengan budaya mengadakan rumah terbuka, kunjung mengunjungi sesama anggota keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga.

“Umat Islam dianjurkan bermaaf-maafan untuk meningkatkan silaturrahim dan memperkukuhkan ukhuwah,” titah baginda lagi.

Baginda bertitah, suasana riang Aidilfitri sememangnya dapat dinikmati setiap ummah.

Fakir miskin, warga tua, anak yatim, balu dan ibu tunggal ujar baginda, wajib diberi perhatian dengan menghulurkan sedekah dan bantuan terutama sekali daripada kalangan mereka yang telah dilimpahkan dengan pelbagai keistimewaan nikmat dan kesenangan rezeki.

“Ketika majoriti warga riang menyambut Aidilfitri bersama keluarga, ada di kalangan warga yang diperlukan bertugas antaranya pasukan tentera dan polis, para petugas yang mengendalikan perkhidmatan kritikal seperti kakitangan bomba, penjara, hospital, bekalan air dan elektrik serta kakitangan media, siar raya dan telekomunikasi.

“Pengorbanan yang dilakukan mereka oleh telah membolehkan majoriti warga dapat merayakan Aidilfitri dengan ketenangan.

“Beta dan Permaisuri menzahirkan penghargaan tinggi kepada mereka, demikian juga anggota keluarga mereka yang turut melakukan pengorbanan,” titah Sultan Nazrin lagi.

Terdahulu, Sultan Nazrin menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Ubuddiah, dekat Kuala Kangsar. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");