Jenayah

Judi bola sepak: Jurujual didakwa

judi bola

IPOH – Gara-gara salah faham, kes pendakwaan membabitkan judi bola sepak Piala Dunia 2014 di Mahkamah Sesyen, di sini berpindah ke Mahkamah Majistret dalam tempoh hampir tiga jam.

Perpindahan itu diputuskan Hakim Rushan Lutfi Mohamed setelah perbicaraan yang bermula pada jam 12.15 tengah hari terpaksa ditangguhkan ke jam 3 petang.

Terdahulu, kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Yasser Mohd Nasri dijalankan Mahkamah Sesyen sebelum pihak pendakwaan yang diwakili peguam Mahinderjit Singh memohon untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Majistret berdasarkan jumlah pertuduhan adalah kecil.

Berikutan itu, Rushan Lutfi membuat keputusan untuk melepas dan membebaskan tertuduh buat sementara waktu supaya kes tersebut dapat didaftarkan semula di bawah Mahkamah Majistret.

Mengikut pertuduhan, Tan Boon Chuan, 39, ditemui di kaki lima Restoran Rahim, No.48 A, Selasar Rokam 11, Taman Ipoh Jaya, di sini, pada jam 4.15 pagi, 24 Jun lalu dengan membawa beberapa barangan dipercayai digunakan untuk tujuan judi.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM200,000 dan hukuman penjara tidak lebih lima tahun jika sabit kesalahan.

Boon Chuan mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan dibacakan ke atasnya dan memohon dibicarakan di hadapan Majistret Haslinda A Raof.

Berikutan itu, Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Isa tidak menawarkan sebarang jaminan. Bagaimanapun, jika mahkamah ingin memberikan jaminan, Nadiah memohon jaminan tinggi dikenakan sebanyak RM15,000.

Sementara itu, peguambela tertuduh, Meor Shaazizi Meor Shaari memohon supaya mahkamah tidak menawarkan wang jaminan tinggi kepada anak guamnya.

Selepas meneliti dan mempertimbangkan hujah kedua-dua pihak, Haslinda membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Ogos ini untuk sebutan semula kes. Kes pendakwaan melibatkan judi bola sepak Piala Dunia 2014 itu adalah yang pertama di negeri ini.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");