Membawang Hari Ini

Kaka kekal di Wirefame

KAKA menegaskan, kariernya maju selepas bernaung bawah Wireframe Entertainment:-

SEBELUM ini kecoh artis-artis di bawah naungan syarikat milik Zizan Razak, Wireframe Entertainment Sdn. Bhd. (Wireframe) seperti Johan As’ari dan Kaka Azraff tidak dibayar gaji.

Semuanya disebabkan Zizan dikatakan telah membekukan akaun syarikat berkenaan sebelum pelakon dan pengacara itu berlepas ke Jepun lima minggu lalu.

Timbul dakwaan bahawa Zizan membekukan akaun syarikatnya selepas mendakwa yang rakan kongsinya, Marina Juki menyelewengkan duit syarikat.

Ekoran dakwaan itu, Marina telah tampil mengadakan sidang akhbar meminta supaya Zizan mengemukakan bukti penyelewengan tersebut dan juga tindakannya membekukan duit syarikat sehingga menyukarkan pihaknya membuat pembayaran gaji kepada artis-artis di bawah naungan syarikat berkenaan.

Zizan memegang sebanyak 70 peratus saham syarikat tersebut manakala bakinya dimiliki Marina.

Ekoran masih tiada jawapan daripada mulut Zizan sendiri mengenai pembekuan akaun yang dibuat, Kosmo! baru-baru ini berpeluang bertemu dengan Kaka pada majlis pertunjukan fesyen koleksi Diandra Couture di Maju Junction, Kuala Lumpur.

Tidak mengelak daripada memperkatakan tentang isu tersebut, penyanyi lagu Infiniti Cinta itu memberitahu, dia tidak berdepan dengan masalah penerimaan gaji.

Malah, selama tiga tahun bersama Wireframe, Kaka bersyukur kerjayanya dalam bidang nyanyian lebih menyerlah berbanding dahulu.

Ikuti lanjut temu bual Kosmo! bersama Kaka.

Kosmo!: Khabarnya, selepas Zizan membekukan duit syarikat Wireframe, anda dan Johan As’ari dikatakan berdepan dengan masalah gaji yang tidak dibayar. Benarkah?

KAKA: Tidak benar. Tiada masalah bayaran. Wirefame masih membayar gaji saya seperti biasa.

Selepas berlaku kemelut antara Zizan dengan rakan kongsinya, Marina adakah anda masih ingin terus bersama Wirefame?

Saya masih mengharapkan Wirefame menguruskan kerjaya nyanyian saya. Saya tiada niat langsung untuk ke syarikat lain. Apa yang terjadi antara Zizan dan Marina adalah masalah dalaman. Ia tidak melibatkan pihak lain.

Kenapa anda masih mengharapkan Wirefame?

Selama tiga tahun bersama dengan Wirefame, saya nampak perjalanan kerjaya nyanyian saya berkembang. Tanpa mereka berdua (Zizan dan Marina) saya tidak akan berada pada tahap sekarang. Zizan juga berjaya selepas diuruskan oleh Marina.

Selepas kemelut ini berlaku, ada yang beranggapan Wirefame akan dibubarkan. Komen anda?

Saya tidak nampak perkara sedemikian akan berlaku. Insya-Allah, Zizan dan Marina akan terus berbincang.

Beralih kepada soalan lain, apakah projek terbaharu anda dalam bidang seni?

Buat pertama kalinya saya berlakon telefilem untuk siaran Astro. Judulnya adalah Puasa Oh Puasa dan saya akan berlakon di samping kanak-kanak yang merupakan bintang kelahiran program Ceria Popstar.

Boleh kongsikan pengalaman pertama kali berlakon?

Sebenarnya saya pernah berlakon di pentas teater iaitu Projek Kahwin. Bezanya kali ini saya berlakon di depan kamera untuk telefilem. Alhamdulillah, telefilem ini merupakan genre komedi ringan. Watak yang dibawa juga tidak berat. Saya membawakan watak Rahila, seorang cikgu yang mempunyai kepala yang gila-gila.

Bagaimana dengan bidang nyanyian anda pula?

Walaupun saya mula berlakon, fokus saya masih pada bidang nyanyian. Buat masa ini, saya masih mencari bahan-bahan untuk dimasukkan dalam album mini pertama saya. Insya-Allah, album itu nanti mengandungi tujuh buah lagu termasuk lagu terbaharu saya, Terpulanglah.

Di manakah anda akan beraya pada tahun ini?

Kemungkinan saya akan balik beraya di kampung ayah di Klang, Selangor atau kampung mak di Alor Setar, Kedah. Kebiasaannya kami sekeluarga akan pulang beraya selama seminggu.

Mana lebih meriah sambutan raya, di kampung ibu atau bapa anda?

Dua-dua meriah. Cuma di Alor Setar suasananya lebih meriah dengan bunyi bunga api dan mercun.

Apakah juadah raya yang sering disediakan keluarga?

Biasanya keluarga saya menyediakan kuah kacang ayam. Ia merupakan resipi turun temurun daripada nenek. Selain itu terdapat juga nasi impit, ketupat palas dan serunding ikan.

– Kosmo

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");