Sukan Hari Ini

Kejutan Lang Merah: Impak Cheng Hoe pacu Kedah

LANG merah

BERDEPAN semua pasukan negeri dari Liga Super pada saingan Kumpulan B Piala Malaysia 2014 bersama Terengganu, Sarawak dan Perak bukan perkara mudah buat Kedah melepasi halangan peringkat kumpulan untuk mara ke peringkat seterusnya.

Namun kebangkitan drastik dipamerkan Lang Merah dalam saingan Liga Premier terutamanya selepas pusingan kedua liga bermula menanam rasa keyakinan penyokong dan memberi petunjuk bahawa bekas gergasi utara ini mampu melakukan kejutan.

Himpunan pemain muda di bangku simpanan juga dilihat sentiasa bersiap sedia diturunkan malah tindakan ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe yang sering menurunkan kelompok itu pada perlawanan liga sedikit sebanyak telah mempersiapkan mereka untuk kejohanan seperti Piala Malaysia.

SIAP AWAL

Kelibat pemain muda seperti Syafiq Ahmad, Muhammad Farhan Roslan, Syazwan Tajudin, Osman Yusuf dan Mohd Hanif Matzahir sudah tentu akan kelihatan pada kejohanan itu dan tidak mustahil akan menjadi senjata rahsia sekiranya lawan memandang rendah keupayaan mereka.

Cheng Hoe sudah pun mempersiapkan barisan muda ini sejak beliau mengambil alih tampuk pengendali Lang Merah yang memberi gambaran positif dengan keupayaan semasa pasukan dan kini hanya pengalaman sahaja yang membataskan mereka dengan pemain senior lain.

Meraih dua kemenangan pada perlawanan persahabatan iaitu mengatasi Sime Darby 2-1 dan Harimau Muda C 4-0 bagaimanapun bukan ukuran sebenar walaupun berjaya menjinakkan salah satunya adalah lawan dari Liga Super.

BISA KM18

Kehadiran semula peledak berbisa Kedah, Khyril Muhymeen yang kembali dari kecederaan panjang mampu memberi banyak pilihan buat Cheng Hoe di barisan hadapan selepas beliau telah memiliki rangkaian serangan berbisa seperti Billy Osman Mehmet, Syazwan Zainon dan Faizal Abu Bakar.

Bahagian tengah Lang Merah pula kini semakin kreatif apabila menerima sentuhan pemain Korea Selatan, Namkung Woong dan hal ini membuka ruang kepada pakar hantaran tepat dan sepakan percuma, Baddrol Bakhtiar untuk mencipta ruang kedua apabila pergerakan Namkung dikepung.

KURANG BOLOS

Dalam pada itu, jangan lupa dengan aspek pertahanan yang perlu terus mengekalkan tumpuan 90 minit di atas padang memandangkan saingan liga cukup berbeza dengan perebutan piala biarpun tahun ini menyaksikan mereka berjaya mengekalkan rekod kedua bolos paling kurang selepas juara Liga Premier, PDRM.

Mungkin juara berganda 2007 dan 2008 akan kembali dengan lebih meyakinkan tahun ini berdasarkan pemain-pemain yang ada sekarang jika mahu dibandingkan dengan keupayaan mereka beberapa musim lalu.

Saingan perebutan piala cukup berbeza dengan liga malah mampu memberi kelebihan kepada pasukan bukan pilihan berikutan tekanan lebih dirasai oleh skuad yang mempunyai pemain- pemain bintang.

AURA PENYOKONG

Kedah juga tidak kalah dengan sokongan padu penyokong fanatiknya yang sentiasa membanjiri memenuhi segenap ruang Stadium Darul Aman dan mungkin hal ini telah pun menggentarkan lawan bahawa hanya mereka yang mempunyai hati keras serta jiwa kental sahaja mampu beraksi di stadium keramat ini.

Sejarah telah membukti lawan besar kerap rebah di sini berikutan tekanan penyokong Kedah bahkan terpaksa banyak perlawanan menunggu sehingga masa tambahan dan perlu ditentukan dengan penentuan sepakan penalti untuk mengetahui siapa pemenangnya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");