Jenayah

Kes Macau Scam membimbangkan

mgsa penipuan

BUKIT BERUANG – Sebanyak 30 kes penipuan Macau Scam membabitkan kerugian hampir RM940,000 dicatatkan dari Januari hingga Mei lalu di negeri ini berbanding 49 kes melibatkan RM1.4 juta sepanjang tempoh tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) negeri Superintendan Ee Khong Koy berkata, jumlah yang agak membimbangkan itu mungkin disebabkan faktor kurangnya kepekaan dalam kalangan masyarakat berhubung bahaya penipuan Macau Scam walaupun pelbagai pendedahan dan kes berkenaan dilaporkan media.

“Bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, sebanyak 30 kes dilaporkan di Melaka iaitu 21 kes di daerah Melaka Tengah membabitkan kerugian RM703,775 dan sembilan kes di Alor Gajah (RM235,885).

“Manakala sepanjang tahun lalu pula, sebanyak 49 kes dilaporkan membabitkan kerugian RM1.44 juta iaitu 39 kes dengan nilai kerugian RM1.14 juta di daerah Melaka Tengah, lapan kes di Alor Gajah (RM277,489) dan dua kes di Jasin (RM19,499),” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Khong Koy berkata, berdasarkan laporan diterima mangsa penipuan terdiri daripada mereka berusia antara 20 hingga 50-an yang bekerja sebagai penjawat awam, pekerja swasta dan bekerja sendiri.

“Dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, sebanyak enam penjawat awam menjadi mangsa, pekerja swasta (22) dan mereka yang bekerja sendiri (8). Manakala bagi tahun lalu pula, mangsa membabitkan 14 penjawat awam, swasta (18) dan bekerja sendiri (10).

“Bagi tahun ini seramai tujuh mangsa terdiri daripada mereka yang berusia antara 20 hingga 29 tahun, 30 hingga 39 tahun (15), 40 hingga 49 tahun (6) dan 50 tahun ke atas (2),” katanya.

Menurutnya, justeru orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan Macau Scam sekali gus mengalami kerugian besar.

“Modus operandi mangsa akan menerima panggilan daripada nombor antarabangsa yang memaklumkan memenangi cabutan bertuah bernilai tinggi sebelum diminta membuat bayaran cukai kastam.

“Ada juga mangsa menerima panggilan memaklumkan kad kredit mereka digunakan individu lain sebelum diminta mengeluarkan wang dan memasukkannya ke dalam akaun bank diberi sebagai ‘langkah keselamatan’ sekali gus mengakibatkan mangsa alami kerugian,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");