Jenayah

Labur duit demi anak patung

judi lagi

Kulim: Helah beberapa tahi judi kononnya bermain mesin slot untuk mendapatkan hadiah anak patung tidak menjadi apabila mereka ditahan kerana permainan itu didapati berunsurkan perjudian dalam serbuan Ops Dadu di sebuah pusat hiburan di Padang Serai, di sini, awal pagi semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 12 tengah malam, seramai 35 anggota dan pegawai Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah menyerbu premis judi yang beroperasi di sebalik pusat hiburan keluarga selepas risikan hasil maklumat awam.

Difahamkan, premis itu dipercayai membawa masuk mesin slot khas yang hanya digunakan di kasino bagi menarik lebih ramai pelanggan ‘melabur’ duit di situ.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan Operasi) IPK Kedah Pemangku Superintendan Nor Omar Sappi berkata, pihaknya menyerbu empat premis pusat hiburan keluarga menawarkan permainan mesin slot berunsurkan perjudian membabitkan kawasan Sungai Petani, Lunas, Padang Serai dan Kulim.

Beliau berkata, operasi terbabit dibahagikan kepada empat kumpulan dengan melakukan serbuan ke atas empat premis yang menjalankan kegiatan perjudian di sebalik pusat hiburan keluarga.

“Kami menahan 18 lelaki termasuk seorang wanita berusia antara 18 hingga 51 tahun termasuk penjaga premis terbabit yang leka bermain mesin slot berunsurkan perjudian di empat premis itu.

“Hasil serbuan, kami merampas 55 mesin simulator, wang tunai kira-kira RM2,000, telefon bimbit, lapan anak patung, permit khas Program Pemutihan Pusat Hiburan Negeri Kedah dan lesen sementara membabitkan nilai keseluruhan kira-kira RM150,000,” katanya yang ditemui selepas mengetuai Ops Dadu, di sini.

Nor Omar berkata, sebuah premis terbabit turut dikesan menawarkan hadiah anak patung kepada pelanggan mereka bagi mengabui pihak berkuasa sebaliknya mesin slot itu sebenarnya berunsur perjudian.

“Ada pemilik premis mendakwa mereka menjalankan kegiatan itu dengan hanya menawarkan hadiah anak patung, namun apabila kami menjalankan siasatan lanjut mendapati ada unsur perjudian.

“Polis akan mengambil tindakan ke atas pemilik premis yang berselindung di sebalik pusat hiburan keluarga dengan menawarkan perjudian,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");