Jenayah

Lesap tak sampai lima minit

lesap

JENGKA – Tidak sampai lima minit, dua penjenayah berjaya membawa lari barangan kemas dan wang tunai berjumlah RM900,000 selepas menyamun sebuah kedai emas di Bandar Tun Abdul Razak Jengka dekat sini, semalam.

Kejadian jam 8.20 pagi itu turut menyebabkan mangsa, Muhd Buqari Sulaiman, 36, yang merupakan abang ipar kepada pemilik kedai nyaris maut apabila sukar bernafas akibat dikurung di dalam bilik kebal hampir satu jam oleh suspek bersenjatakan sepucuk pistol.

Pemilik kedai, Shahruddin Majid, 25, berkata, sebaik memasuki kedai dan mahu menutup kembali gril pintu, abang iparnya yang datang seorang diri dikejutkan dengan kehadiran dua lelaki bertopeng muka.

Menurutnya, seorang daripada lelaki itu yang memakai topi mengacukan pistol ke leher mangsa sebelum memberi arahan untuk masuk ke dalam kedai.

“Tanpa banyak bercakap, mereka paksa abang ipar membuka pintu bilik kebal di ruang belakang kedai.

“Mereka arahkan abang ipar memasukkan semua barang kemas seberat lebih lima kilogram yang dianggarkan bernilai hampir RM800,000 dan wang tunai RM100,000 ke dalam sebuah beg.

“Abang ipar tidak dilepaskan sebaliknya mereka bertindak mengurung dia di dalam bilik kebal sebelum penjenayah itu melarikan diri,” katanya.

Shahruddin berkata, dia yang tinggal di Jerantut mengesyaki sesuatu ketika sampai di hadapan kedai apabila pintu dan gril tidak tertutup.

Menurutnya, panggilan telefon abang ipar tidak terjawab menyebabkan dia masuk ke dalam kedai dan mendapati kunci berselerak berdekatan pintu bilik kebal.

“Bila buka, abang ipar sudah terbaring lemah akibat kelemasan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintenden Sulaiman A Hamid mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan sedang dijalankan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati tempat kejadian mempunyai CCTV tetapi gagal memperlihatkan nombor kenderaan jenis Perodua Myvi yang dipercayai digunakan suspek untuk melarikan diri.

“Kejadian tidak disedari orang yang berada di kawasan berhampiran.

“Penjenayah bersenjatakan sepucuk pistol semi auto dan tiada sebarang tembakan dilepaskan,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");