Jenayah

Mat rempit digempur

mat rempit 2

SERI ISKANDAR – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah mengeluarkan 64 saman bagi pelbagai kesalahan dalam Ops Bersepadu Khas cegah mat rempit di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Bota Kanan ketika Ops Bersepadu Khas, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, seramai 60 penunggang dan 50 motosikal diperiksa ketika operasi yang bermula pada jam 10 malam itu.

Menurutnya, enam pelajar sekolah yang masih di bawah umur turut diperiksa dan 64 saman iaitu tujuh saman daripada polis dan 57 lagi dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Katanya, bagaimanapun pemeriksaan urin yang dijalankan ke atas 18 penunggang motosikal, negatif dadah.

“Saman-saman ini dikeluarkan kerana penunggang motosikal melakukan pelbagai kesalahan termasuklah tidak ada lesen kenderaan, cukai jalan tamat tempoh, tidak memakai topi keledar dan pelbagai kesalahan lain,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 19 notis turut dikeluarkan kepada penunggang motosikal kerana kesalahan mengubahsuai motosikal.

Katanya, kesemua penunggang terlibat diarahkan oleh JPJ untuk membuat pemeriksaan semula motosikal milik mereka.

“Ini adalah satu kesalahan kerana boleh mengundang pelbagai risiko yang membahayakan pengguna,” katanya.

Mohamad Fakri berkata, Ops Bersepadu Khas itu dijalankan dengan kerjasama beberapa agensi lain termasuk sukarelawan polis, JPJ, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Katanya, tujuannya adalah untuk mengekang gejala mat rempit dalam kalangan pelajar sekolah apabila perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat jawatankuasa bertindak daerah dan Pejabat Pelajaran Daerah turut memberikan kerjasama.

“Kita sedia maklum di daerah ini terdapat beberapa lokasi tertentu yang menjadi laluan mat rempit dan perkara diambil perhatian serius oleh pihak kami,” katanya.

Beliau berkata, operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa.

“Masyarakat terutama ibu bapa diharapkan dapat memberikan kerjasama dengan tidak membenarkan anak-anak di bawah umur ataupun tidak ada lesen memandu kenderaan tidak kiralah motosikal ataupun kereta.

“Kita juga memerlukan sokongan masyarakat setempat dalam menangani isu ini supaya perancangan untuk membanteras gejala tidak sihat ini dapat berjalan lancar,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");