Membawang Hari Ini

Memori raya Jamal

HARI itu, di kediaman rasmi Datuk Jamal Abdillah, terdengar riuh rendah suara tiga ‘bujang’ bergurau senda.

Sambil bergurau, Jamal dan dua permata hati kesayangannya, Osama Yamani, 13, dan Ahmad Zaki Yamani, 8, teruja bersiap untuk sesi fotografi khas yang diatur bersama Kosmo!.

Ia dibikin khusus sempena sambutan Aidil- fitri yang jatuh pada hari ini.

Jamal rancak berbicara tentang sambutan Aidilfitrinya sambil anak sulungnya, Osama sesekali mengangguk tanda setuju dengan cerita bapa kesayangannya itu.

Beritahu Jamal, ini merupakan tahun kelima beliau beraya di kediaman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Jemputan menyanyi di kediaman pemimpin negara itu kekal diterima Jamal setiap kali tibanya 1 Syawal.

Bukan lagi hiburan mahupun untuk kepuasan sendiri. Sebaliknya, sambutan Aidilfitri dirinya lebih kepada menghiburkan orang lain.

Setiap kali tibanya 1 Syawal, penyanyi berasal dari Ipoh, Perak itu akan mengunjungi kediaman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengadakan persembahan nyanyian.

Begitu juga sebaliknya untuk raya kedua dan ketiga, pemilik nama sebenar Jamal Ubaidillah Ali itu akan mengadakan persembahan nyanyian di rumah menteri-menteri lain pula.

Empat tahun sambutan raya, penyanyi berusia 55 tahun itu berkeadaan begitu. Bagi tahun kelima ini, sambutan raya Jamal masih kekal seperti sebegitu.

“Sememangnya sejak lima tahun lalu, selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri, saya akan mengunjungi rumah Perdana Menteri dan mengadakan persembahan di sana. Bukan sahaja di hadapan Perdana Menteri, malah saya juga mengadakan persembahan di hadapan menteri-menteri Kabinet pada hari raya pertama itu.

“Kemudian pada hari raya kedua dan ketiga, saya menerima pula jemputan nyanyian daripada menteri-menteri lain pula. Saya anggap ini (jemputan mengadakan persembahan) sebagai tanggungjawab saya untuk menghiburkan mereka walaupun pada hari sambutan Aidilfitri,” luah Jamal ketika ditemui.

Bukan niat dirinya untuk meraih duit yang banyak, jauh sekali untuk membelakangkan anak-anak dan keluarga dengan menerima persembahan nyanyian pada hari raya.

Tidak keseorangan, jika ada kesempatan Jamal turut membawa dua anaknya, Osama Yamani, 13, dan Ahmad Zaki Yamani, 8, ke rumah Perdana Menteri untuk merasai bersama suasana hari raya.

Bagi Osama, dia gembira dapat mengikut bapanya ke rumah Perdana Menteri.

“Jika tahun tersebut saya beraya bersama babah, beliau akan bawa saya dan Zaki bersama. Kami akan ke sana dengan memakai pakaian raya,” ujarnya.

Erat

Menganggap sambutan Aidiladha lebih bermakna, jelas Jamal, pada hari raya korban itu dia tidak akan menerima sebarang jemputan persembahan. Namun, dia akan memperuntukkan sepenuhnya raya bersama anak-anak.

Biarpun ada ketikanya Jamal tidak dapat beraya bersama anak-anak pada hari pertama hingga ketiga Syawal, namun sebelum beraya, beliau sudah menyediakan semua kelengkapan raya untuk anak-anaknya.

Sanggup menolak ke tepi perasaan tidak selesa berada di tempat awam, Jamal mengakui, beliau akan keluar bersama anak-anak untuk membeli baju raya.

“Saya rasa hubungan bapa dengan anak menjadi lebih erat jika sering menghabiskan masa bersama,” jelasnya Jamal.

Memilih tema hitam untuk dipakai pada hari raya tahun ini, kata Osama pula, bapanya lebih suka memakai baju Melayu pada sambutan Aidilfitri.

“Babah lebih gemar memakai baju Melayu pada hari raya puasa. Namun pada Aidiladha, babah akan memilih untuk memakai jubah,” ungkapnya yang memanggil bapanya itu dengan gelaran babah.

Tidak hanya untuk anak-anak, curahan kasih Jamal itu juga disalurkan buat ibu tirinya, Noraishah Nor.

“Biasanya hari raya haji sahaja saya mempunyai kesempatan untuk beraya bersama anak-anak. Kalau hari raya puasa, kadang-kadang sahaja saya berkesempatan beraya bersama mereka. Selebihnya, mereka akan beraya di rumah ibu mereka.

“Jika mereka beraya bersama saya, pada hari raya keempat saya akan bersama anak-anak pulang ke Perak beraya bersama ibu tiri, adik-beradik dan saudara-mara di sana,” kongsinya.

Kasih Ibu Tiri

Mengakui menyayangi ibu tirinya, pemilik syarikat Bintang Channel Sdn. Bhd. itu juga menganggap wanita tersebut seperti ibu kandungnya.

Hadir dalam hidup Jamal setelah pelantun lagu Azura itu berkahwin, namun Jamal mengakui, beliau sangat menyayangi ibu tirinya itu.

Kasih sayang yang tidak berbelah bahagi dicurahkan Jamal itu seiring dengan rasa tanggungjawab Jamal kepada ibu tirinya yang telah menjaga arwah bapanya ketika sakit dahulu.

“Suatu ketika dahulu, saya pernah ada ibu kandung depan mata tetapi saya tidak hargai. Jadi, bila sudah tidak ada, saya rasa kesal tidak dapat berbakti dengan ibu.

Sibuk sepanjang sambutan Aidilfitri, namun menjelang Aidiladha, Jamal berpeluang meluangkan banyak masa bersama anak-anaknya ini.

Namun, itulah iltizam yang harus Jamal lakukan demi perjalanan hidup dirinya dan anak-anak pada masa hadapan.

“Jadi, saya kena jaga hubungan saya dengan ibu tiri pula. Ini adalah tanggungjawab saya. Selama arwah ayah sakit, dia yang menjaganya. Inilah masanya untuk saya membalas segala jasa ibu tiri dan sekali gus menebus kesalahan saya pada arwah ibu kandung saya dahulu,” tuturnya berbaur sayu.

Tidak mahu menyusahkan ibu tirinya, setiap kali tibanya Syawal dan Aidiladha, Jamal tidak pernah meminta ibu tirinya untuk memasak hidangan yang disukainya.

Kata Jamal, apa sahaja yang dimasak oleh ibu tirinya akan dijamahnya.

“Ibu akan memasak menu-menu biasa hari raya seperti rendang dan ketupat. Apa sahaja yang dimasaknya kami (Jamal dan anak-anak) akan makan.

“Saya tidak mahu menyusahkan dirinya dengan meminta dia masak macam-macam. Sekarang ini, saya cuma mahu menyenangkan dirinya sahaja,” ulas Jamal.

Terdiam sebentar, Jamal turut menyorot kembali memori bersama bapanya. Masih jelas dalam kotak fikirannya tubuh dan gaya bapanya yang sering tampil berseri-seri di pagi raya.

Malah, Jamal juga begitu terkesan setiap kali mendengar khutbah hari raya yang disampaikan oleh bapanya.

“Sampai sekarang, saya masih ingat lagi memori ketika beraya bersama arwah ayah. Pagi-pagi lagi ayah sudah bangun, bersiap dan mengenakan pakaian raya untuk menunaikan solat sunat hari raya. Ketika itu saya lihat ayah cukup berseri-seri dengan bau minyak wangi yang semerbak. Saya pula memang ditugaskan menjadi pemandu beliau untuk bersama-sama ke masjid menunaikan solat.

“Ayah juga sering ditugaskan membaca khutbah hari raya. Antara khutbah yang disampaikan ayah adalah tentang kemenangan umat Islam selepas menjalani ibadah puasa sebulan. Namun, kata ayah lagi, apa yang dilakukan pada bulan Ramadan harus diteruskan sampai bila-bila,” ucap Jamal sayu.

– KOSMO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");