Laporan Eksklusif

MH17: Ibu Sedih Hasrat Pramugari Beraya Di Kampung Tidak Kesampaian

azrina

ALOR SETAR: Azrina Yakob, 41, pramugari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, yang terhempas di Ukraine berdekatan sempadan Rusia, telah menyuarakan hasrat untuk pulang menyambut Aidilfitri di kampung halamannya.

Ibu mangsa Habibah Ismail, 65, dari Kampung Kelumpang, Alor Mengkudu di sini berkata anak kedua daripada empat beradik itu menghubunginya minggu lepas.

“Masa mula puasa dia tak balik dan raya ni dia kata nak balik lah. Sebelum ni dia selalu menghubungi makcik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di sini, Jumaat.

Katanya anggota keluarga mendapat berita mengenai tragedi itu daripada sanak saudara lain yang turut bekerja dengan syarikat penerbangan itu sejurus selepas kejadian tersebut berlaku.

Tinjauan di rumah itu mendapati suasana pilu menyelubungi keluarga tersebut dan mereka turut dikunjungi jiran yang memberi kata-kata semangat dan ucapan takziah atas tragedi yang menimpa mangsa.

Difahamkan Azrina yang bekerja dengan syarikat MAS sejak 20 tahun lepas telah berkeluarga dan mempunyai dua anak berusia tiga dan enam tahun.

Anggota keluarga Azrina bertolak ke ibu negara pada 10.45 pagi tadi bagi mendapatkan berita mengenai mangsa dengan lebih tepat daripada MAS.

Azrina adalah antara 15 anak kapal pesawat itu yang terputus hubungan kira-kira 12.15 tengah hari (waktu Amsterdam) di kedudukan 30 kilometer (km) dari Tamak, kira-kira 50 km dari sempadan Ukraine dan Rusia.

Pesawat tersebut dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila terhempas di Ukraine. Ia membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak awal hari ini berkata pihak berkuasa Ukraine percaya Boeing 777 itu telah ditembak.

-mStar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");