Sukan Hari Ini

MSN pertahan 7 emas

zolkples

Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) menolak pandangan bekas Ketua Pengarah Datuk Wira Mazlan Ahmad yang menyifatkan sasaran tujuh pingat emas di Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland yang bermula minggu depan, langkah ke belakang selepas kejayaan melakar 12 emas pada edisi 2010.

Ketua Pengarah Datuk Seri Zolkples Embong tampil mempertahankan sasaran berkenaan yang disifatkannya diputuskan selepas mengambil kira pelbagai faktor dan pandangan.

“Bercakap mengenai sasaran, ia tidak semestinya meningkat sepanjang masa. Dulu kita menang 12 emas, tidak semestinya kali ini kita meraih 13 emas atau lebih kerana sasaran diumumkan mengambil kira pelbagai faktor seperti kekuatan atlet negara serta negara lain.

“Beliau pernah mengetuai MSN (1993 hingga 2005), seharusnya beliau tahu. sasaran tidak semestinya meningkat sepanjang masa. Kita pernah menang 10 emas di Sukan Komanwel 1998 namun kenapa empat tahun selepas itu (di Manchester 2002) sekadar meraih tujuh emas, kenapa tidak mencapai 11 atau 12 emas. “Ketika Olimpik 2000 dan 2004, kenapa kita gagal meraih sebarang pingat walaupun meraih satu perak dan gangsa di Atlanta 1996,” kata Zolkples.

Mazlan menerusi laporan Arena Metro beberapa hari lalu melihat sasaran tujuh emas yang diumumkan Chef-de-Mission, Datuk Ong Poh Eng menimbulkan banyak persoalan kerana melihat kontinjen negara tidak berkembang walaupun terdapat penambahan peruntukan untuk melakukan persiapan.

“Kami mempunyai banyak program. Semuanya mengambil masa dan kejayaan tidak boleh dicapai dalam tempoh semalam saja. Anda boleh melihat sendiri berapa ramai atlet pelapis yang sudah dilahirkan serta mampu bersaing di pentas antarabangsa,” kata Zolkples.

Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi turut mempertahankan sasaran tujuh emas yang diumumkan semasa penyerahan Jalur Gemilang pada Khamis lalu dengan menyifatkannya realistik berdasarkan situasi semasa termasuk mengambil kira kecederaan Datuk Lee Chong Wei yang juga prospek emas negara.

Malah Kok Chi turut berpandangan kontinjen negara berkemungkinan mampu meraih sehingga sembilan emas seandainya beberapa acara yang tidak diletakkan sasaran melakar kejutan.

Saingan di Glasgow akan membabitkan 71 negara dengan kontinjen negara menampilkan 269 pegawai dan atlet yang akan bersaing dalam 14 daripada 17 jenis sukan.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");