Berita Hari Ini

Mukhriz saran KUIN lakukan transformasi

ALOR SETAR: Kolej Universiti Insaniah (KUIN) disaran melakukan transformasi supaya terus relevan sebagai institusi pengajian tinggi (IPT) unggul dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata KUIN perlu mengambil teladan daripada universiti Islam terkemuka lain seperti di Mesir yang telah wujud sejak sekian lama namun masih beroperasi dengan berjaya.

“Seperti universiti di Mesir walaupun sudah wujud sejak lebih 1,000 tahun lalu, namun ia masih beroperasi kerana telah membuat perubahan sejak zaman berzaman mengikut kehendak waktu.

“Dari semasa ke semasa, perlu membuat transformasi, apa yang ditawarkan untuk pelajar mestilah mengikut kesesuaian zaman,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama warga KUIN di Kampus Mergong dekat sini, malam tadi.

Beliau berkata, pensyarah juga perlu terus melakukan penyelidikan dan menerbitkan bahan ilmiah yang sesuai dengan arus zaman.

“Kerajaan negeri sentiasa prihatin dengan apa yang berlaku di Kuin. Saya sarankan biarlah kita sentiasa berlari-lari ke hadapan, menuju kejayaan,” katanya.

Rektor KUIN, Prof Datuk Mohd Yusof Kasim pula berkata post-mortem perlu dibuat memandangkan trend kemasukkan pelajar ke kolej universiti itu semakin menurun sejak 2009.
“Walaupun jumlahnya tidaklah teruk sangat, tapi kita tidak boleh berpuas hati. Kita perlu mengubah trend ini paling lewat pada 2015 kerana kelangsungan sesebuah IPT bergantung kepada bilangan pelajarnya.

“Tidak guna jika kita mempunyai pensyarah yang hebat sekiranya tidak ada pelajar, jadi apa sahaja kerja kita kena lakukan yang terbaik kerana ada kepentingan ummah di sini iaitu memperjuangkan pendidikan Islam,” katanya.

Beliau berkata, warga KUIN perlu melipatgandakan usaha untuk menyumbang yang terbaik untuk kolej universiti itu, rakyat sekaligus kepada kerajaan negeri.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");