Laporan Eksklusif

Najib jumpa PM Belanda

Amsterdam: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijadual mengadakan perjumpaan dengan rakan sejawatannya dari Belanda, Mark Rutte di The Hague berhubung nahas MH17 dalam lawatan kerja dua hari ke Belanda.

Najib tiba jam 8 pagi ini (2 petang di Malaysia) bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam dan Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin.

Duta Besar Malaysia di Belanda, Datuk Dr Fauziah Mohamad Taib berkata, tujuan utama lawatan Najib adalah untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai urusan pengecaman mangsa tragedi itu serta penghantaran pulang mayat mereka ke tanah air.

Beliau memberitahu wartawan Malaysia di sini bahawa Najib mengadakan perbincangan dengan Rutte mulai 11.15 pagi (5.15 petang di Malaysia), sebelum berlepas ke Hilversum, lokasi mayat mangsa melalui proses pengecaman dan forensik.

Pesawat MH17 dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Donetsk, timur Ukraine, berhampiran sempadan Russia pada 17 Julai.

Pesawat Boeing 777-200ER itu, yang membawa 298 orang – 283 penumpang dan 15 anak kapal, dipercayai ditembak jatuh, tetapi hingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab.

Mayat mangsa diterbangkan dari Ukraine ke Belanda.

Rakyat Belanda, 193 mangsa adalah jumlah penumpang paling ramai dalam penerbangan itu.

Fauziah berkata, Perdana Menteri juga menjadi hos majlis makan malam pada Khamis, sebelum mengadakan sidang media pada 8 pagi (2 petang di Malaysia) pada hari berikutnya.

Menurut beliau, ini lawatan kerja pertama Najib ke Belanda dan pemimpin Malaysia sebelum ini yang pernah melakukan lawatan ke Belanda ialah bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2005, dan Tun Dr Mahathir Mohamad, pada 1986.

Fauziah berkata, Malaysia rakan perdagangan dan pelaburan terbesar Belanda dalam kalangan negara Asia Tenggara.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");