Jenayah

Nelayan dalang seleweng diesel

diesel  2

PANTAI REMIS – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak berjaya merampas diesel subsidi bernilai RM57,540 dalam satu serbuan di Kampung Bagan Panchor, di sini awal pagi semalam.

Timbalan Pengarah KPDNKK Perak, Mohd Khalis Kasim berkata, serbuan yang dilakukan pada jam 4 pagi itu dilaksanakan berikutan maklumat awam dan siasatan pihak KPDNKK.

Menurutnya, dalam serbuan berkenaan pihaknya mengesan berlakunya penyelewengan minyak diesel bersubsidi yang dipercayai dijual oleh nelayan kepada sindiket pembelian diesel bersubsidi.

“Siasatan mendapati diesel berkenaan diambil daripada nelayan dengan menyalurkan minyak itu melalui hos yang diletakkan di sebuah premis yang dijadikan sebagai pelantar ikan atau tempat menaikkan hasil laut.

“Hos berkenaan disambung sejauh 70 meter melalui bawah rumah penduduk untuk disalurkan ke sebuah tangki yang boleh memuatkan sebanyak 27,000 liter diesel,” katanya dalam sidang media di sini semalam,

Hadir sama Ketua Cawangan KPDNKK Manjung, Omar Ismail.

Mohd Khalis berkata, pihaknya mengambil masa seminggu untuk membuat serbuan berkenaan memandangkan lokasi kejadian yang mempunyai hanya satu jalan masuk sahaja.

“Kita sudah dua kali cuba membuat serbuan namun tidak berjaya kerana terdapat ‘tonto’ yang mungkin mengesan kehadiran kami dan mereka menghentikan seketika aktiviti.

“Selepas itu kita mengubah taktik serbuan dan akhirnya berjaya menyerbu kawasan ini dan turut mengesan seorang pemandu lori dan juga penjaga pam masing-masing berumur 40-an untuk mendapatkan keterangan.

“Semasa serbuan kita berjaya menahan sebuah lori yang sudah diisi minyak diesel sebanyak 21,000 liter yang dipercayai akan dibawa ke negara jiran melalui Bukit Kayu Hitam,” katanya.

Katanya, jumlah keseluruhan rampasan adalah bernilai RM207,540 termasuk lori yang digunakan untuk mengangkut minyak berkenaan dan kes itu akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 sama ada Seksyen 20 ataupun Seksyen 21.

“Kita akan siasat dari semua sudut termasuklah pemilik premis dan jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman denda sebanyak RM250,000 atau penjara tiga tahun ataupun kedua-duanya sekali.

“Kita mengharapkan supaya orang awam terus menyalurkan maklumat kepada pihak kami berkaitan kes seumpama ini supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya.

Sementara itu, Mohd Khalis berkata, Ops Titik sejak 15 Mei lalu sehingga semalam telah berjaya menumpaskan sebanyak 26 kes melibatkan diesel, petrol dan gas.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");