Laporan Eksklusif

Operasi Bersepadu Banteras Aktiviti Haram Di Wilayah Persekutuan Akan Diteruskan

Menyedari peningkatan aktiviti haram di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, kerajaan Persekutuan akan meneruskan operasi bersepadu dengan kerjasama Petugas Membanteras Aktiviti Haram Wilayah Persekutuan yang telah ditubuhkan pada April yang lalu.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata operasi itu dijalankan untuk membanteras aktiviti-aktiviti haram daripada terus berleluasa di seluruh Wilayah Persekutuan khususnya di Kuala Lumpur.

Katanya, antara aktiviti-aktiviti haram yang dikenalpasti termasuklah pusat siber yang menjalankan aktiviti perjudian melalui komputer, pusat-pusat hiburan tanpa lesen, pendatang tanpa izin (PATI) dan penagihan dadah.

Beliau berkata pada 16 dan 17 Julai lalu, pasukan tersebut menyertai operasi bersama 493 orang anggota petugas dari 12 agensi/ jabatan penguatkuasaan di Wilayah Persekutuan iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen (JIM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Pembekal Perkhidmatan Internet yang berkaitan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bertindak sebagai penasihat terhadap tindakan/operasi yang telah dilaksanakan.

Antara lokasi yang menjadi tumpuan operasi ialah Taman Danau Kota, Rampai Niaga dan Taman Sri Rampai di Parlimen Setiawangsa dan Bandar Seri Permaisuri di Parlimen Bandar Tun Razak.

Hasil daripada operasi tersebut, pihak Jabatan Imigresen telah menahan seramai 89 orang pendatang asing dari pelbagai negara iaitu China, Thailand, Indonesia, Vietnam, Bangladesh dan Nigeria.

Manakala 21 orang lagi telah ditahan untuk siasatan lanjut kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah atau tamat tempoh manakala 68 orang lagi dibebaskan.

Tengku Adnan menjelaskan bagi kesalahan yang melibatkan penyalahgunaan dadah, pihak AADK telah menahan seramai 13 orang dan daripada jumlah tersebut, 11 orang yang berumur antara 19 hingga 40 tahun telah didapati positif dadah jenis morfin.

Sementara itu, bagi kesalahan khalwat, sebanyak tiga pasangan Melayu telah ditahan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk siasatan lanjut.

Selain itu, sebanyak 30 premis pusat siber yang didapati menjalankan aktiviti perjudian melalui komputer turut diserbu.

Pelbagai barangan termasuk televisyen, mesin judi dan peralatan komputer seperti CPU, keyboard dan monitor bernilai kira-kira RM250,000 telah dirampas.

“Selain itu, beberapa aktiviti penguatkuasaan telah dilaksanakan terhadap premis tersebut kerana melanggar syarat asal permohonan lesen.

“Ia termasuklah pemotongan bekalan elektrik oleh pihak TNB, pemotongan bekalan air oleh pihak SPAN/Syabas dan pemotongan perkhidmatan internet oleh pihak SKMM/TM.

“Sebanyak 23 premis pusat siber turut disita semasa operasi tersebut,” katanya.

Kementerian itu tegas beliau, menyeru agar masyarakat memainkan peranan sebagai mata dan telinga kepada pasukan petugas khususnya dalam menyalurkan maklumat supaya masalah terbabit dapat ditangani hingga ke peringkat akar umbi.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan dengan premis dan jenis aktiviti melalui talian telefon 03-88897762 atau email [email protected].

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");