Jenayah

Padah lupa padam api dapur

api dapur

Kuala Lumpur: Tindakan pantas anggota bomba dan penyelamat menyelamatkan nyawa empat lelaki warga asing dari terbakar selepas semua mangsa terperangkap di dalam bilik disewa di Jalan Brunei Utara 2, di sini.

Dalam kejadian jam 7.30 malam kelmarin, mangsa berada di tingkat atas bangunan rumah kedai diselamatkan anggota bomba tanpa kecederaan.

Kejadian berlaku ketika kebanyakan mangsa pekerja warga Bangladesh yang menyewa bilik di premis itu menanti waktu berbuka. Kebakaran dipercayai berpunca daripada tindakan mangsa yang terlupa memadamkan api selepas memasak di dapur.

Penghuni rumah, Md Shobus Shordar, 35, berkata, kebakaran di tingkat satu bangunan itu menyebabkan perkakas seperti pakaian, televisyen dan peti ais terbakar.

“Kebakaran itu menyebabkan kami panik dan gagal mencari pintu keluar. Mujur anggota bomba dan penyelamat segera membantu,” katanya.

Sementara itu Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 7.48 malam.

“Dua jentera bomba dan tiga Unit Gerak Cepat Bermotosikal (RIM) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu, Hang Tuah dan Jalan Tun Razak bergegas ke lokasi kejadian.

“Keempat-empat mangsa yang terperangkap di tingkat satu, dua dan tiga bangunan itu diselamatkan dalam tempoh 15 minit,” katanya.

Menurutnya, tiada sebarang kecederaan serius dialami mangsa yang kebanyakannya diberikan bantuan kecemasan oleh pasukan EMRS bomba berikutan mengalami sesak nafas.

“Api dikawal sepenuhnya pada jam 8.22 malam. Punca sebenar kebakaran dan kerugian masih lagi dalam siasatan,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");