Berita Hari Ini

Pakar bedah Malaysia ketuai pembedahan buang ketumbuhan di Australia

WAJAH Jhonny Lameon yang mengalami ketumbuhan pada muka. Gambar kanan menunjukkan wajahnya selepas pembedahan membuang ketumbuhan itu di Hospitak Kanak-Kanak Monash yang diketuai oleh pakar bedah dari Malaysia, Dr. James Leong Chin Sek. -fotoBERNAMA:-

Pakar bedah Malaysia mengetuai pasukan empat pakar bedah untuk membuang ketumbuhan yang mencacatkan wajah seoang budak lelaki Filipina berumur tujuh tahun di Monash Children’s Hospital di sini.

Pakar bedah plastik Dr James Leong Chin Sek, anak kelahiran Kota Baharu, Kelantan, berkata Jhonny Lameon mengalami ketumbuhan di wajah yang membesar menerusi saraf di tengkorak.

Pakar bedah berkenaan yang berkerja secara pro bono atau percuma, melakukan pembedahan selama lapan jam untuk membuang ketumbuhan itu dan membetulkan wajah Jhonny secara keseluruhan pada Mac.

“Saya menerima e-mel berserta gambar dan kisah Jhonny yang mengalami kecacatan teruk dan kami segera memutuskan untuk membantunya.

“Pasukan kami di Monash Health menggerakkan semua sumber kami untuk membawa Jhonny ke Melbourne”, kata Dr Leong, 48, kepada Bernama, di sini.

Budak lelaki itu menjalani rawatan pemulihan di Monash Children’s Hospital dan di ladang pemulihan Children First Foundation’s di Kilmore, 40km utara Melbourne.

Dr Leong, alumni University of Melbourne, berkata kecacatan seumpama itu agak jarang berlaku, dengan kira-kira seorang dalam 10,000 bayi dilahirkan dengan kecacatan itu.

Beliau berkata kebanyakan kes seumpama itu sepatutnya dirawat pada peringkat awal iaitu selepas dikesan melalui pemeriksaan ‘ultrasound’.

Tetapi dalam kes Jhonny, dia tinggal di kawasan amat miskin dan sudah hampir berumur tujuh tahun.

Dr Leong berkata disebabkan tiada kemudahan berhampiran rumah Jhonny, keluaranya tidak mampu mendapatkan rawatan intervensi di Filipina, pembedahan terpaksa dilakukan di Australia.

Jhonny telah dinilai oleh pasukan daripada Interplast, badan bukan berasaskan keuntungan yang dibantu Rotary dan Royal Australasian College of Surgeons yang melakukan lawatan ke Filipina.

Interplast kemudian menghubungi Dr Leong yang bersedia membantu kanak-kanak malang itu.

Jhonny telah buta sebelah mata akibat ketumbuhan itu.

“Keadaannya sudah pulih sekarang, yang amat bermakna bagi dirinya,” kata Dr Leong.

Dr Leong telah membenarkan Jhonny, yang ditemani ibunya Chochi, untuk pulang ke kampung halamannya di Mindanao. Bapanya seorang nelayan dan dia mempunyai 10 beradik.

“Ada orang baharu dalam keluarga itu kerana semasa di Australia, Puan Lameon melahirkan anak diberi nama Jack pada Mac. Ini memang tidak dijangka dan benar-benar satu kejutan,” katanya.

Pada majlis bersama-sama media, Chochi Lameon berkata: “Dr James melakukan kerja dengan amat baik membuat hidung Jhonny. Jutaan terima kasih kepada Dr James. Saya berasa amat gembira kami boleh pulang ke rumah sekarang,” katanya.

Dr Leong membesar di beberapa negeri di Malaysia, kerana bapanya Leong Teng Boon merupakan kakitangan awam sebagai jurukur tanah. –

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");