Jenayah

Pelajar dipukul samseng sekolah

pelajar dipukul

SEREMBAN – Seorang pelajar sekolah tingkatan lima mendakwa dirinya dipukul sekumpulan pelajar lelaki dalam sebuah rumah kedai terbengkalai di Bandar Seremban Selatan, dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam Khamis lalu, Mohd Nadzmi Aqiff Mohd Azzian, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seremban Jaya 2, di sini, mengalami sakit di dada, tangan dan bengkak di pipi selepas dibelasah sekumpulan lelaki berkenaan.

Mohd Nadzmi berkata, pada malam kejadian, dia menunggang motosikal ke sebuah stesen minyak di Taman Seremban Jaya untuk mengisi minyak selepas menunaikan solat Isyak di surau dekat rumahnya di taman perumahan sama.

“Dalam perjalanan, saya telah ditahan sembilan lelaki yang menaiki lima motosikal. Mereka menggunakan kekerasan dengan memukul sebelum memaksa saya menaiki salah sebuah motosikal mereka.

“Mereka membawa saya ke rumah kedai bertingkat terbengkalai di Fasa 2 Bandar Seremban Selatan dan tiga orang daripada mereka telah memukul dan menendang saya,” katanya.

Menurutnya, salah seorang daripada mereka mengeluarkan pisau dan meletakkan diperut dan lehernya serta mengugut mahu membunuhnya.

“Saya berasa amat takut dan meminta mereka tidak mencederakan saya. Saya tidak kenal mereka semua tetapi tahu mereka bersekolah di tingkatan tiga dan lima di sebuah sekolah di Taman Tuanku Ja’afar, di sini.

“Saya tidak tahu apa motif mereka mencederakan saya dan ketika kejadian terdapat empat rakan saya menjadi saksi,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Sementara itu bapanya, Mohd Azzian Basim, 43, berkata, pada malam kejadian, dia berasa tidak sedap hati apabila anaknya lambat pulang ke rumah.

“Kira-kira jam 11 malam, anak saya pulang rumah dan terus masuk ke bilik. Keesokan harinya, isteri saya ke sekolah untuk mengambil buku rekod dan guru kaunseling memberitahu anak saya telah dipukul.

“Isteri saya segera menghubungi saya dan memaklumkan perkara itu. Saya segera membawa anak ke hospital untuk rawatan lanjut sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Mohd Azzian yang juga penghulu berharap kumpulan pelajar yang memukul anaknya itu dikenakan tindakan atas perbuatan mereka.

“Perkara ini bukan main-main kerana mereka mengugut mengunakan pisau dan telah mencederakan anak saya. Saya harap pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mereka,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");