Perak Hari Ini

Perak Cadang Tubuh Pasukan Sukarelawan Banteras Isu Dadah Di Peringkat Kampung

OLEH Norsadrina Ismail/Gambar Ahmad Amirul Hakim Ahmad Zulkifli:-

Kerajaan Perak berhasrat menubuhkan sebuah pasukan sukarelawan khas bagi membanteras masalah penyalahgunaan dadah yang semakin berleluasa terutamanya di kawasan kampung dan pedalaman negeri itu.

Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, usaha membanteras penyalahgunaan dadah memerlukan kerjasama daripada semua pihak dan tidak hanya bergantung kepada tindakan pihak berwajib semata-mata.

“Ini bukan soal politik semata-mata kerana jika usaha tidak diambil, kita seolah-olah membiarkan anak bangsa menderita dengan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Tambah beliau lagi, langkah tersebut perlu dilakukan secara menyeluruh tanpa membezakan mana-mana jabatan serta kumpulan.

“Pendekatan yang bakal diaplikasikan bagi menyelesaikan masalah ini akan melalui peringkat akar umbi itu sendiri iaitu melibatkan pihak berkuasa dan kerajaan Persekutuan dengan membenarkan pasukan sukarelawan khas di peringkat kampung ditubuhkan untuk membantu menangani masalah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Ipoh, hari ini.

Kata Zambry lagi, pemantauan terperinci di kawasan panas atau ‘hot spot’ bakal diwujudkan di peringkat mukim terpilih dan disertai oleh pasukan sukarelawan yang lebih mengetahui senario di kawasan masing-masing.

“Langkah itu boleh diaplikasikan selain bergantung kepada tindakan yang diambil oleh pihak Polis (PDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK),” ulasnya lagi.

Katanya lagi, penubuhan pasukan sukarelawan khas itu akan dianggotai 50 orang ahli yang bertindak mengenalpasti dan memantau jenayah dadah di kawasan masing-masing.

“Usaha membasmi jenayah dadah ini akan tertumpu kepada pengedarnya kerana kini pelbagai jenis dadah dipasarkan,” ulasnya lagi.

Tambahnya lagi, beliau turut bersedia untuk berhadapan dengan risiko kehilangan pengaruh politik apabila mengaplikasikan pendekatan tersebut yang mungkin mengundang pandangan berbeza kelak.

“Saya lebih rela kalah dalam pilihan raya nanti daripada terus membiarkan generasi muda terperangkap dalam penagihan dadah,” jelasnya.

Beliau turut akan mempertimbangkan cadangan supaya keselamatan setiap ahli sukarelawan dilindungi agar nyawa mereka tidak terancam.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");