Jenayah

Perkampungan air ‘sarang’ penceroboh, pengganas

sabah diceroboh

KUALA LUMPUR – Polis mendapati kawasan perkampungan air di Sabah menjadi ‘sarang’ kepada penceroboh, penculik dan pengganas daripada selatan Filipina untuk menjalankan aktiviti jenayah mereka.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, bancian dibuat polis mendapati selain orang tempatan, ada pendatang haram yang menetap di perkampungan tersebut dengan menjadikan ia sarang aktiviti jenayah.

“Ada tangkapan dibuat terhadap mereka dalam operasi secara berkala, namun ia tidak menghapuskan ‘tapak’ jenayah itu, selagi perkampungan seperti itu wujud,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Op Selamat 5/ 2014 Sempena Hari Raya Aidilfitri di sini, hari ini.

Justeru, beliau berkata pihaknya mencadangkan kepada kerajaan negeri Sabah agar mempercepatkan proses penempatan semula penduduk perkampungan air di negeri itu bagi  mengekang aktiviti jenayah di sana.

Beliau mengulas cadangan Bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohammad semalam agar kerajaan pusat dan negeri Sabah memindahkan penduduk di Perkampungan Air ke lokasi  lebih selamat kerana ia menjadi sarang jenayah.

Komen itu timbul susulan insiden tembak-menembak yang mengakibatkan seorang anggota keselamatan terkorban manakala seorang lagi diculik.

Dalam insiden tembak-menembak di Pulau Mabul di Semporna Sabtu lepas dengan sekumpulan lapan individu bersenjata berat, Koperal Ab Rajah Jamuan, 32, maut manakala rakannya, Konstabel Zakia Ali, 26, diculik.

Berikutan insiden itu juga, kerajaan akan melaksanakan perintah berkurung serta mewujudkan laluan yang telah ditetapkan di perairan Pantai Timur Sabah bagi mengukuhkan keselamatan kawasan tersebut.

Kawasan perairan Pantai Timur Sabah seluas 1,400 kilometer nermula dari daerah Kudat hingga ke Tawau, adalah berjiran dengan selatan Filipina, serta sering kali menimbulkan konflik aktiviti jenayah termasuk kes siri penculikan, kemasukan pendatang haram dan pencerobohan kumpulan militan.

Kerajaan menubuhkan mekanisme keselamatan iaitu Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esszone) setelah mematahkan pencerobohan kumpulan militan bersenjata dari selatan Filipina, yang berhasrat merampas Sabah, pada 12 Feb 2013. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");