Membawang Hari Ini

Qalam Band nekad berhijrah

qalam band

Selepas muncul dengan lagu Dilamun Rindu sebelum ini, kumpulan remaja yang mengetengahkan bakat mereka sebagai Qalam Band mempertaruhkan pula single terbaru dan makin diminati ramai, Rintihan Kalbu.

Lagu mengisahkan percintaan putus di tengah jalan itu turut dirakamkan Qalam Band bersama pelakon Fida Ibrahim. Meskipun ia kerjasama pertama, gabungan mereka serasi.

Dianggotai Muhammad Zainol Mohd Nor atau Eynol selaku vokalis, Muhammad Alias Mohd Esa (Lyas – dram), Faizwan Farman Farod Hasfardy (Faiz – gitar), Muhammad Hanif Omar (Hanif-keyboard) dan Wan Mukhammad Mukhrizad Wan Mokhtar (Izad – bass), boleh dikatakan perjalanan seni kumpulan ini agak samar.

Mengakui memang Qalam Band masih kurang dikenali ramai, ia tidak bermakna mereka perlu berputus asa.

Menurut Faiz, apa yang menyebabkan Qalam Band kurang menyerlah kerana sebelum ini mereka masih bersekolah di Perak.

“Jadi, kalau ada tawaran menyanyi pun kami hanya boleh menerimanya pada hujung minggu. Namun, sekarang Qalam Band semakin pasti dalam mengatur langkah seni kami.

“Sekarang, kami sudah habis sekolah dan tumpuan bolehlah diberikan kepada karier nyanyian pula. Lagi pun, kami bercadang untuk berhijrah dari Perak ke ibu kota untuk mengembangkan karier ini,” katanya.

Mengulas mengenai kerjasama dengan Fida yang mungkin akan dianggap ‘menumpang populariti’ pelakon jelita itu, Faiz berkata, Qalam Band tak pernah berniat menumpang populariti artis lain.

Katanya, mereka yakin dengan bakat nyanyian dimiliki dan kerjasama itu dijalin pun berdasarkan cadangan daripada syarikat rakaman Sheikh Qalam Records Sdn Bhd. Jadi, katanya Qalam Band sangat menghormati keputusan itu.

“Apapun, kami seronok bekerjasama dengan Fida. Orangnya tidak sombong dan mudah mesra. Tidak sangka juga kami boleh serasi dan dapat merakamkan lagu ini dengan baik.

“Kini, apa yang diharap-kan Qalam Band adalah peluang. Justeru, bagi memastikan kami memperoleh peluang diimpikan itu sudah masanya penghijrahan dilakukan ke ibu kota,” katanya.

Menurut Eynol pula, mereka merancang berhijrah menetap di ibu kota selepas Aidilfitri nanti demi mengembangkan karier seni diceburi. Katanya, mungkin inilah masanya untuk mereka berlima lebih berdikari.

Berbicara juga mengenai genre muzik mereka, Eynol berkata Qalam Band selesa memilih Pop Rock yang dianggap serasi dengan jiwa.

Pada masa sama juga akui Eynol, Qalam Band cukup mengagumi kumpulan remaja I Am Neeta.

Ditanya mengenai kerjasama, katanya Qalam Band sentiasa bersikap terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana penyanyi yang sudi.

Kata Eynol, apa yang diinginkan ialah peluang dan pengalaman.

Baru tiga tahun ditubuhkan, Eynol berkata, Qalam Band masih kurang peluang dan pengalaman. Sehubungan itu, semoga keputusan berhijrah ke ibu kota akan membawa sinar baru buat mereka.

Mengharapkan single Rintihan Kalbu terus diminati ramai yang sekali gus membantu melonjakkan nama Qalam Band, Eynol berkata, tak dinafikan juga industri muzik tempatan kini memang kekurangan band remaja. Keadaan ini jauh sekali berbeza pada era 1990-an lalu, yang mana industri muzik meriah dengan adanya kumpulan seperti New Boyz dan Boboy.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");