Membawang Hari Ini

Rossa tidak gelap mata

rossa

Tolak tawaran persembahan lumayan kerana enggan terlepas detik penting bersama keluarga ketika lebaran

Biar dihamparkan tawaran lumayan yang berlipat ganda, penyanyi nombor satu Indonesia, Rossa enggan memperjudikan detik bermakna bersama keluarga sempena 1 Syawal hanya kerana ghairah mengejar kekayaan dunia.

Tidak sesekali membenarkan dirinya terleka dengan ganjaran bersifat sementara, Rossa atau nama lengkapnya, Sri Rossa Roslaina Handiyani memilih untuk bersama keluarga pada pagi 1 Syawal.

Baginya, Aidilfitri ialah detik paling istimewa untuk berkumpul bersama keluarga tercinta, selepas sekian lama dihambat kesibukan kerana tuntutan kerjaya yang tidak mengira waktu.

“Menjelang Aidilfitri, saya tidak lagi ghairah menerima tawaran. Saya keberatan untuk melepaskan detik penting berkumpul bersama sanak saudara, apatah lagi sebelum ini kesempatan berharga itu jarang hadir kerana kesibukan masing-masing.

“Saya juga tidak mahu melukakan hati kedua ibu-bapa yang sejak awal lagi sudah mengingatkan supaya tidak menerima tawaran ketika hari raya.

“Maaf, jika ditawar dengan ganjaran lumayan dan berlipat ganda sekalipun, saya tidak mungkin menerimanya. Saya lebih mengutamakan keluarga,” katanya.

Seperti tahun terdahulu, penyanyi berusia 35 tahun itu akan memandu pulang ke tanah kelahirannya di Sumedang, Jawa Barat dan berada di sana selama dua minggu.
“Saya akan pulang seminggu sebelum lebaran dan hanya kembali ke Jakarta seminggu selepas itu. Saya terlalu merindui suasana lebaran di kampung halaman.

“Selain berkumpul dengan ahli keluarga, kesempatan berada di kampung juga dimanfaatkan untuk bertemu teman ketika di alam persekolahan dulu.

“Menjadi rutin, kami akan merancang untuk berbuka bersama ataupun menziarahi rumah teman pada musim Aidilfitri nanti. Mengimbas semua itu membuat saya tidak sabar untuk kembali ke desa tercinta,” katanya.

Gemar opor ayam

Menggemari ketupat, opor ayam dan tauhu Sumedang yang dimasak bersama ibunya sebagai sajian wajib pada pagi Aidilfitri, Rossa memberitahu, keluarganya masih kental menjunjung tradisi.

Selesai menunaikan solat Aidilfitri, keseluruhan ahli keluarganya akan berkumpul untuk saling bermaafan dan suasana ketika upacara itu sering menyentuh hati kecilnya.

“Kebanyakan ahli keluarga saya menetap di luar kota, jadi kesempatan berkumpul pada hari raya cukup bermakna.

“Seperti di Malaysia, kami juga tidak melupakan amalan memberi wang kepada kanak-kanak sebagai sedekah. Ia juga menjadi motivasi kepada mereka selepas sebulan berpuasa menahan lapar dan dahaga.

“Ketika bermaafan, ahli keluarga yang lebih tua akan menitipkan kata nasihat dan pesanan. Sering mereka ingatkan, apa juga yang terjadi darah yang mengalir tidak akan putus kerana kami bersaudara.

“Detik itu cukup menyentuh perasaan, malah saya sering tewas menahan air mata kerana pesanan yang dititipkan begitu membekas di sudut hati,” katanya.

Sepanjang Ramadan lalu, Rossa sibuk dengan promosi album terbaharunya, Love, Life & Music. Kesibukan itu memaksanya menghantar anak kesayangannya, Rizky Langit Ramadhan terlebih dulu pulang ke kampung.

“Saya memberikan Rizky pilihan sama ada untuk bercuti di dalam atau luar negara, tetapi dia memilih bersama datuk dan neneknya di kampung.

“Di sana, Rizky bebas melakukan aktiviti yang disukainya. Dia juga tidak sendirian kerana sepupunya ada bersama untuk menemaninya,” katanya.

-Berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");