Membawang Hari Ini

Sazali nak bedah lutut

sazali

Jika kesihatannya baik, pasti Sazali akan menziarahi pusara ayahandanya, Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Sekalipun tinggal jauh di Semenyih, Selangor, itu bukan alasan untuk Sazali mengelak daripada mengunjungi pusara Seniman Agung itu di Tanah Perkuburan Ampang, Kuala Lumpur setiap kali Ramadan dan Aidilfitri.

Cuma Ramadan kali ini, tidak seperti sebelumnya apabila Sazali buntu memikirkan bagaimana untuk mencari RM25,000 bagi membiayai kos pembedahan lututnya itu.

Menurut Sazali, ikut perancangan doktor pakar dia perlu menjalani pembedahan pada 15 Ogos ini bagi mengelak keretakan pada lutut kanannya bertambah serius.

“Saya cakap pada doktor saya hanya ada duit simpanan RM5,000. Jumlah RM25,000 itu agak besar bagi saya yang bekerja buruh dan isteri pula suri rumah sepenuh masa.

“Hendak beritahu masalah ini pada persatuan artis, saya tidak tahu caranya, sebab itu saya lebih suka ceritakan masalah kewangan saya pada wartawan saja,” katanya.

Menurut Sazali, keretakan lutut kanannya berpunca daripada kemalangan yang dialami pada Mei 2012 di Semenyih.

Ketika itu Sazali yang bekerja sebagai buruh kontrak menaiki basikal dalam hujan lebat untuk pulang ke rumah.

“Ketika melalui pekan Semenyih, tiba-tiba basikal yang saya kayuh itu tumbang dan saya pula jatuh tergolek.

“Saya cuba bangkit, tetapi terasa sakit dan baru saya sedar lutut saya terhentak pada besi di tepi jalan itu.

“Saya lihat kaki saya seperti lipat ke dalam. Sakitnya bukan kepalang hingga nak bangun pun tidak larat. Lalu saya menjerit meminta tolong dan syukur ada yang membantu.

“Saya dibawa pemuda yang menolong saya ke Hospital Kajang menjelang senja. Selepas ujian X-ray, doktor beritahu tisu lutut kanan saya koyak dan ia agak serius,” katanya.

Oleh kerana tiada doktor pakar di hospital itu, Sazali diberi ubat penahan sakit. Atas inisiatif sendiri dia merawat sakit lututnya itu secara tradisional tetapi tiada apa-apa kesan.

Sebaik membuat rawatan susulan, selepas mendapati kesakitannya semakin terasa, dan hasil ujian X-ray baru-baru ini, doktor mengesahkan keretakan pada lutut Sazali merebak ke paha dan pinggang. Pembedahan segera diperlukan bagi mengelak bertambah serius.

“Menurut doktor, jika boleh mahu pembedahan dilakukan selepas hari raya. Ini yang merisaukan saya, di manakah saya mahu mencari duit sebanyak itu,” kata Sazali sebak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");