Membawang Hari Ini

Siti Saleha jaga ‘privacy’

saliha

KISAH cintanya bersama jejaka berdarah Eropah bukan lagi rahsia bagi peminat seni tempatan. Bahkan si cantik berusia 24 tahun ini, semakin selesa mengajak kekasih hati menemaninya di majlis-majlis tertentu.

Bagaimanapun ia bukan bererti pelakon Kerat 14 sengaja menayang teman lelaki, sebaliknya tidak mahu dikatakan terlalu menyembunyikan hubungannya dengan jejaka tersebut. Akui pemilik nama Siti Saleha Mohd Baharom ini, dia masih menjaga ‘privacy’ kekasih hati memandangkan dia agak janggal muncul di hadapan media dan khalayak ramai.

“Saya akui kami kini semakin rapat dan terus mengenali hati budi masing-masing. “Usia perkenalan kami juga masih di peringkat awal. Tidak elok jika terlalu berterus-terang, bimbang jika hubungan tidak menjadi dan menjadi buah mulut orang,” katanya lebih selesa merahsiakan nama kekasihnya itu.

Jelas pelakon kacukan Melayu-Inggeris ini juga, walaupun hubungan mereka sangat baik, tetapi tidak bermakna dia akan mengakhiri zaman solo dalam masa terdekat.

“Saya masih muda, perasaan ingin kahwin itu wujud tetapi saya perlu berfikir panjang. “Kalau sudah jodoh kami, insya-ALLAH saya akan beritahu kepada semua. Saya yakin semua yang bercinta mahu ianya berakhir ke jinjang pelamin.

“Apa pun, buat masa sekarang cukuplah semua tahu saya sudah mempunyai kekasih sahaja,” katanya masih dalam proses mengenali jejaka berusia 27 tahun itu.

Tambahnya, sebagai artis juga dia tidak boleh terlalu terbuka soal cinta dan peribadi. “Ada perkara yang kita boleh kongsi dan tidak, biarlah saya simpan sedikit kisah kami berdua,”ujar Siti Saleha yang tertarik dengan sifat penyayang jejaka tersebut.

Bertudung tuntutan lakonan

Tidak tertumpu kepada kisah peribadinya sahaja, aktres cantik ini turut mendapat perhatian kerana penampilan bertudung dalam sesetengah drama lakonannya.

Menurut Siti Saleha, walaupun banyak drama yang menuntutnya mengenakan tudung, namun ia sekadar merealisasikan karakter yang dibawa.

“Memang ramai kawan-kawan saya yang sudah bertudung, saya juga sangat gembira dengan perubahan mereka.

“Tetapi buat masa sekarang, saya masih belum bersedia. Kalau sampai masanya saya juga akan mengikut jejak langkah mereka,” katanya peminat memberi komen baik mengenai perkara itu.

Akuinya, dia tiada masalah dengan peranan yang memerlukan dia memakai tudung.

“Saya selesa dengan peranan begini tetapi kalau ada peminat atau mana-mana pihak yang mahukan saya memakainya terus, saya tidak boleh menerimanya.

“Perkara begini sangat serius dan saya perlu benar-benar bersedia supaya tidak menjadi ‘mangsa’ media sosial seperti selebriti lain,” katanya tidak mahu pemakaian tudung kerana trend semata-mata.

Tidak selesa jadi ibu

Sementara itu, lakonannya sebagai Farah menerusi drama bersiri Ramadan Jangan Pergi mendapat respons cukup baik daripada peminat seni tempatan.

Sama ada penonton setia drama itu mahupun peminat aktres cantik ini sendiri, rata-rata memuji lakonannya sebagai ibu.

Di sebalik peranan dan karakter tersebut, Siti Saleha mengakui dia sebenarnya kurang selesa memainkan watak itu.

Bagi bukan kerana tiada keyakinan tetapi dia agak janggal menjadi ibu buat masa ini.

Sementelah, dia sendiri masih bujang dan tidak pernah melalui pengamalan membesarkan anak.

Katanya cukuplah menjadi ibu menerusi drama Luth Mahfuz dan Ramadan Jangan Pergi.

“Saya tidak akan menerima tawaran menjadi ibu lagi selepas ini. Bukan kerana tidak mampu membawa watak tersebut tetapi saya perlukan seimbangkan watak-watak yang dibawa.

“Memang saya terkenal dengan drama yang lebih santai dan saya selesa dengan peranan-peranan menerusi drama seumpama itu.

“Bagaimanapun, saya masih ok dengan watak yang memerlukan saya menjadi seorang emosional kerana setiap drama pun pasti ada emosi,” luah Duta Bazar Seindah Ramadan ini kerana bimbang penonton mempertikaikan lakonannya.

Lebih selektif

Jelasnya, dia juga lebih memilih untuk menerima tawaran lakonan sejak kebelakangan ini.

“Bukan bererti saya ‘demand’, cuma tidak mahu penonton bosan kerana terlalu kerap kemunculan saya di layar skrin.

“Saya juga tidak mahu mengambil apa sahaja tawaran yang ada kerana bimbang tidak dapat menumpukan perhatian dan komited terhadap tugasan,” ujar heroin drama bersiri Manis ini.

Bagi Siti Saleha, kebolehan membawakan watak adalah yang paling penting berbanding kekerapan muncul di kaca televisyen.

“Banyak tawaran yang saya terima, hinggakan ada 80 episod drama yang ditawarkan kepada saya terpaksa ditolak.

“Saya cuma mahu memastikan lakonan saya berhasil dan bukan tangkap muat sahaja,” ujar Pelakon Televisyen Wanita Popular dan Pelakon Filem Wanita Popular ini.

Sedikit perkembangan terbarunya, Siti Saleha kini sedang menjalankan penggambaran sebagai Norin bagi filem Upin & Ipin.

“Insya-ALLAH, selepas raya saya akan ke Jakarta untuk pembikinan drama Cinta Agung pula.

“Ia merupakan sebuah drama cinta yang mana memerlukan saya bergandingan dengan Aaron Aziz lagi,” katanya menerima tawaran tersebut kerana ia bukan kisah cinta biasa.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");