Membawang Hari Ini

‘Tawan’ kembali penyokong filem Melayu

david teo

Penerbit filem dan Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group (MIG) David Teo sering mencetuskan kontroversi dalam cara mempromosikan filem terbitannya.

Terbaru, dia yang tidak pernah menyanyi melakukan percubaan berani apabila bergandingan dengan penyanyi Cat Farish dan Fida Ibrahim untuk projek terbarunya bagi menghasilkan single pertama berjudul Kacang.

Selain single itu, beberapa filem seram, komedi dan aksi terbitan MIG bakal ditayangkan di pawagam selepas Aidilfitri ini.

Bersama wartawan Rap, Michelle Gun ([email protected]) menemuramah David untuk ruangan Verbatim kali ini.


RAP: Sambutan Aidilfitri bakal menjelang, filem terbitan MIG apakah yang bakal ditayangkan di pawagam sempena perayaan itu?

DAVID: Pada Aidilfitri ini, penonton boleh menyaksikan filem Adnan Sempit 4 Sawadikap yang akan ditayangkan pada minggu kedua Syawal iaitu 7 Ogos ini. Filem ini sangat sesuai untuk ditonton bersama keluarga dan rakan pada perayaan berkenaan kerana berkonsepkan komedi. Malah, filem itu yang masuk siri keempat sudah ‘trending’ di laman sosial.

Selain itu, filem seram Nasi Kangkang dan Kelibat masing-masing menemui penonton di pawagam pada September pada Oktober depan diikuti filem aksi komedi Kaki Kitai.

Seterusnya, saksikan Nora Danish dan Bocey beraksi dalam filem komedi berjudul Hantu Bungkus Ikat Tepi pada November depan. Semua filem berkenaan sudah siap sunting dan tunggu masa untuk ditayangkan.


RAP: Jadi, apakah harapan David terhadap filem berkenaan pada Aidilfitri ini?

DAVID: Harapan saya penonton kembali menyokong filem Melayu tempatan kerana mendapati jumlah pengunjung pawagam sudah berkurangan sejak kebelakangan ini.

Memandangkan filem terbitan MIG ditayangkan hampir setiap bulan sepanjang tahun ini, saya melihat filem berkenaan bakal mendapat sambutan memberangsangkan berbanding enam bulan pertama tahun ini yang menyaksikan kutipan jualan kurang memuaskan.

Namun, filem Pengantin Malam meraih kutipan jualan mencecah RM1.9 juta hanya dua minggu selepas ditayangkan di pawagam.

RAP:Pada pendapat anda, apa yang menyebabkan bilangan penonton ke pawagam semakin menurun?

DAVID: Kecanggihan teknologi masa kini seperti aplikasi sosial dalam telefon pintar dan tablet memudahkan pengguna mengakses program hiburan secara percuma. Lebih-lebih lagi Internet sudah digunakan secara meluas sekarang, filem dan drama sudah boleh ditonton serta dimuat turun di mana-mana saja.

Selain itu, berlaku persaingan dalam industri seni tanah air, tahun lalu saja sudah 85 filem ditayangkan di pawagam. Situasi ini sudah jauh berbeza berbanding 13 tahun lalu hanya lapan filem ditayangkan dalam setahun.

RAP: Selain senarai filem yang akan datang, apakah projek MIG yang seterusnya?

DAVID: Selepas Aidilfitri, MIG akan membuat penyelidikan dan pembangunan dalam pembikinan filem selama empat bulan demi masa depan penonton dan penerbitan filem tempatan. Jadi kami akan mula dengan mengumpul maklum balas di lokasi penggambaran.

Bagaimanapun, saya tidak dapat berkongsi dengan lebih lanjut mengenai projek ini kepada orang awam dan selepas Aidilfitri, kami akan menggunakan kaedah baru untuk penggambaran. Penyelidikan dan pembangunan ini bertujuan meningkatkan kualiti filem tempatan selain saya mahu penonton puas hati dan merasakan tiket pawagam yang dibayar untuk menonton filem terbitan MIG adalah berbaloi.

RAP: Boleh David mengulas dengan lebih lanjut mengenai single bertajuk Kacang yang berduet bersama Cat Farish dan Fida Ibrahim?

DAVID: Saya ingin menyanyi selepas melihat Datuk AC Mizal berjaya menghasilkan lagu walaupun usianya sudah mencecah 40-an. Lagu ini dari ilham sendiri dan mahu menceritakan mengenai artis yang ibarat kacang lupakan kulit.

Artis muda ini apabila sudah berjaya cepat lupa diri dan tidak menghargai pihak yang pernah menyokongnya. Namun, saya tidak tujukan kepada sesiapa dan cuma sebagai mesej yang ingin disampaikan kepada masyarakat. Single Kacang adalah ciptaan Cat Farish dan saya cuma nyanyi bahagian rap. Lirik lagu ini turut diselitkan pantun yang juga idea sendiri dan Cat Farish menyusun di bahagian yang sesuai.

RAP: Kenapa David memilih untuk nyanyi rap?

DAVID: Kalau saya nyanyi balada atau rock sudah tentu memerlukan vokal yang bagus serta nada tinggi. Tetapi, saya pilih untuk rap saja kerana boleh menyampaikan mesej yang panjang dengan mudah.


RAP: Bagaimana pula dengan sambutan terhadap lagu Kacang?

DAVID: Lagu Kacang sudah pun diputarkan di beberapa stesen radio tempatan dan muzik videonya sudah disiarkan di YouTube. Ketika ini, saya berusaha untuk mempromosi lagu itu menerusi beberapa platform termasuk boleh diperoleh dalam bentuk ‘ringtone’.

Mengejutkan apabila lagu itu mencecah lebih 70,000 tontonan dalam tempoh 15 hari selepas dimuat naik dalam YouTube. Justeru, saya sangat berpuas hati dan menganggap lagu ini kejayaan besar kerana saya bukan penyanyi. Malah, trailer filem terbitan MIG tidak pernah mencecah angka itu walaupun sudah sebulan dimuat naik dalam YouTube. Dalam pada itu, saya merancang untuk menghasilkan satu lagu pada setiap tahun.

Akhir sekali, ada dakwaan pihak tertentu mengatakan David sudah tidak memerlukan publisiti media untuk mempromosi filem MIG. Minta jelaskan.

Isu ini sangat sensitif dan saya menafikan sekeras-kerasnya mengenai kenyataan itu. Saya tidak pernah bercakap demikian kepada mana-mana media dan sentiasa menghargai jasa media yang tidak berhenti menyokong kerjaya saya dalam industri sejak sekian lama.

Saya percaya isu ini timbul berikutan sudah kurang mengiklankan filem MIG dalam akhbar tempatan. Sebenarnya, saya mahu mengurangkan kos perbelanjaan pemasaran berikutan pasaran kurang stabil. Oleh itu, saya pilih untuk memperbanyakkan promosi filem MIG di media sosial kerana murah.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");