Jenayah

Tiada lagi sambal tumis Ummi…

5 beradik

KETIKA mata meliar mencari rumah bernombor 3-2-10, saya terpandang sebuah unit rumah sedang diubah suai.

Walaupun belum siap sepenuhnya, kemasan yang dibuat nampak cantik dan lengkap dipasang jeriji dari pintu depan hingga ke bilik.

Sedang asyik memerhatikan pekerja warga Indonesia memasang jubin pada rumah itu, saya disapa seorang kanak-kanak, “Kak nanti rumah kami macam hotel,” kata anak kecil itu.

Walaupun sudah acap kali ke situ untuk membuat liputan, namun untuk masuk ke rumah Zainah Mohd Zain, menjadi perkara asing buat saya.

Kelihatan dua beradik sedang nyenyak tidur di ruang tamu. “Inilah anak-anak arwah,” kata Zainah, ibu saudara kepada lima beradik itu.

23 Mei lalu, catat memori duka dalam hidup lima beradik yang kehilangan kedua ibu bapa mereka sekali gus. Juruteknik mesin fotostat, Jefri Mohd Zain, 46, dan isterinya, Noorsalawati Ibrahim, 40, terbunuh dalam satu kemalangan ngeri yang juga kes langgar lari.

Pasangan ini meninggalkan lima anak termasuk yang masih kecil, dan ketika ini tanggungjawab itu dipikul oleh anak sulung mereka, Muhd Haikal,16. Ikuti pertemuan wartawan kami bersama lima beradik piatu ini bagi menyelami kenangan mereka bersama ketika Ramadan.

Walaupun tidak pernah mengenali secara dekat dengan mereka, hati saya tetap runtun apabila mengenangkan kisah tragis yang menimpa kedua ibu bapa mereka yang digilis lori muatan tanah di Jalan Loke Yew di tengah-tengah Ibu Kota, baru-baru ini.

Kisah mereka mendapat perhatian ramai, kerana arwah  Jefri dan Noorsalawati meninggalkan lima anak termasuk yang masih kecil. Mereka ialah Muhd Haikal, 16, Fatin Adlina, 14, Mohd Aidil, 10, Norsyamini, 4, dan Nor Auni Safia, 3.

Kehadiran saya disambut dengan salam oleh anak sulung arwah iaitu Muhd Haikal, sambil memimpin tangan adiknya, Norsyamini.

Sanggul siput Norsyamini mengingatkan  pada kanak-kanak yang menyapa saya sebentar tadi.

Zainah memberitahu, rumah peninggalan arwah abangnya itu sedang diubahsuai bagi proses baik pulih untuk keselesaan kelima-lima anak itu. Menurut Zainah lagi, kos pembiayaan ditanggung oleh seseorang yang tidak mereka kenali.

Sungguh saya tertarik ingin mengetahui siapakah hamba ALLAH  yang budiman itu, bersusah payah untuk memberikan keselesaan sebegitu buat lima beradik ini.

“Rumah itu diubah suai sepenuhnya, semuanya diuruskan oleh Pengerusi Surau Madrasatul Iman dan AJK surau.

“Saya pun tidak tahu berapa kosnya, raya nanti berumah barulah mereka,” kata Zainah merujuk kepada anak-anak saudaranya.

Menurut jiran terdekat, kehidupan mereka adik-beradik sebelum ini agak susah, serba serbi serba ringkas namun mereka bahagia.

Ya, bahagia. Saya pasti yang itu kerana sejak awal pertemuan saya dengan Haikal, abang sulung lima beradik ini tidak lekang menyebut kebaikan ummi dan ayahnya.

Melihat kepada keakraban kelima-lima beradik ini saya yakin, mereka peroleh kasih sayang yang melimpah daripada arwah kedua-dua ibu bapa mereka.

Secara peribadi, saya amat kagum dengan kecekalan Haikal yang walaupun baru berusia 16 tahun, dia tabah memikul tanggungjawab yang besar untuk menjaga empat lagi adiknya yang masih kecil.

“Kenapa abang nak takut? Ummi ada, ummi selalu datang tengok abang dan adik-adik,” katanya yang memberitahu arwah ibu sering kali datang dalam mimpi.

Menurut Haikal, tragedi yang menimpa kedua ibu bapanya tidak mungkin dilupakan, namun dia perlu reda, hidup mati adalah kuasa Tuhan.

“Haikal abang, kenalah jaga adik-adik, kalau Haikal sedih je macam mana dengan adik-adik, memanglah  sedih tapi nak buat macam mana.

“Ayah dah pesan jaga adik-adik. Haikal janji tidak akan benarkan siapa-siapa pisahkan kami,” katanya.

Katanya, dia dan adik-adik akan tetap tinggal di rumah peninggalan arwah ayahnya.

Sambal tumis ummi terbaik!

Bulan Ramadan sering kali dikaitkan dengan syurga makanan, menu berbuka menjadi topik utama yang dibincangkan semua orang.

Tidak sah dalam sebulan sekali pasti akan menjejakkan kaki ke bazar Ramadan untuk membeli aneka juadah berbuka.

Cuba juga mencuit kisah adik-beradik ini ketika bersama arwah kedua ibu bapa mereka sewaktu Ramadan tiba.

Menurut Haikal, kehidupan mereka serba sederhana, tidak kira bulan puasa ataupun  bukan. Tiada deretan lauk di meja makan seperti orang lain, tiada aneka kuih yang dibeli dari bazar Ramadan.

“Kak, kami adik-beradik jarang sekali pergi ke mana-mana kak, kami duduk di rumah sahaja,” kata Haikal ketika ditanya lokasi kegemaran bazar Ramadan mereka sekeluarga.

Makin runtun hati saya dengan jawapan itu, namun anak remaja ini tetap memberikan senyuman manis walaupun soalan yang ditanya mungkin menyentuh hati kecilnya.

“Apa yang ummi masak, itulah yang kami makan, tapi sambal tumis ummi terbaik!” kata Haikal.

Sambal tumis berserta nasi putih dan ikan bilis menjadi menu harian mereka di bulan Ramadan dan hari-hari biasa.

Kesedapan sambal tumis itu turut diiyakan oleh adiknya, Aidil yang baru terjaga dari tidur.

Aidil berusia 10 tahun itu berkata, sambal umminya tiada tandingan walaupun kini ibu saudaranya yang dipanggil Maksu juga menyediakan menu yang sama.

Maksu atau nama sebenarnya,  Norazma Mohd Zin berkata, kini dia diberi tanggungjawab untuk menjaga lima beradik ini.

“Pada awalnya agak kekok tapi budak- budak ni mudah mesra, dari segi makan pun senang tak cerewet, kalau dah ada sambal dengan ikan bilis goreng pun sudah cukup,” katanya.

Menurut Norazma, memandangkan Ramadan ini kali pertama lima beradik itu berpuasa tanpa kedua ibu bapa mereka, dia dan kakaknya, Zainah akan bergilir-gilir menyediakan juadah berbuka dan bersahur untuk mereka. Menurut Zainah, raya tahun ini mereka sekeluarga akan pulang ke Kampung Rahmat, Changkat Sulaiman, Sungkai, Perak di mana arwah disemadikan.

“Kami akan bawa mereka untuk ziarah pusara ayah dan ummi mereka. Selain itu, di kampung lebih meriah dan ramai saudara mungkin boleh beri sedikit keriangan di hati mereka,” katanya.

Cerita Haikal, ketika hayat kedua ibu bapanya, mereka sekeluarga jarang pulang ke kampung kerana kekangan kewangan. “Ayah ada motor kapcai je, kalau nak balik kampung raya selalunya, saya dengan ayah akan naik motor, ummi dengan adik-adik naik bas.

“Kalau tidak cukup duit, selalunya kami balik kampung ummi di Tanjung Malim lebih dekat,” katanya. Abang akan tunaikan cita-cita ayah Bergelar abang sulung, Haikal yang kini bersekolah di Sekolah Menengah Alam Damai mahu jadi contoh kepada adik-adiknya.

Menurut Haikal, dia akan belajar bersungguh-sungguh bagi penuhi cita-cita ayahnya yang tidak kesampaian untuk jadi pegawai polis. “Ayah cakap dia nak tengok saya jadi polis, ayah pasti bangga  kalau saya dapat jadi polis.

Saya akan berusaha untuk pastikan cita-cita itu menjadi kenyataan,” katanya. Ketika saya rancak berbual dengan Haikal dan Aidil, Norshamimi dan Auni datang ke pangkuan.

Sempat saya tanyakan kepada Haikal, adakah dua adik kecilnya itu tahu akan ketiadaan kedua ibu bapa mereka.

“Kami dah sepakat kalau adik tanya, kami kata ummi dan ayah tidur penat balik kerja,” kata Haikal. Sebak sungguh mendengar jawapan itu. Di usia Auni mungkin dia masih belum mengerti apakah erti kehilangan sebesar itu.

Saya mula terbayangkan wajah anak saya yang hampir seusia Auni, sudah kehilangan kehangatan dakapan seorang ibu.

Lebih menyentuh hati dua anak kecil ini enggan turun daripada pangkuan saya apabila saya meminta diri untuk beredar. YA ALLAH, moga berikanlah kekuatan dan ikatan yang kukuh antara saudara ini, moga dugaan diturunkan ini memberi seribu hikmah dalam kehidupan mereka.

AL-FATIHAH buat arwah Jefri dan isteri Noorsalawati.

Buka buku SSPN Sejak berita tragis yang menimpa lima beradik ini mendapat liputan media, ramai yang datang menghulurkan bantuan.

Puteri Umno yang diketuai oleh Mas Ermieyati Samsudin, dan Ketua Puteri Wilayah Persekutuan, Sharifah Aminah Syed Mohssain turut tiba ke rumah ibu saudara lima beradik ini Selasa lalu.

Mas Ermieyati tiba bersama wakil Bank Rakyat bagi membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Dengan adanya buku SSPN, hasil sumbangan orang ramai kepada lima beradik itu lebih terjamin. “Ini cara terbaik untuk pastikan mereka mampu mendapatkan pendidikan yang sempurna.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh gunakan saluran ini atau berhubung terus dengan ibu saudaranya,” katanya yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah.

Pada hari itu, Puteri Umno turut menyerahkan hasil kutipan daripada pihaknya berjumlah RM4,350 berserta persalinan pakaian bagi kegunaan hari raya nanti.

Surau bantu hingga 15 tahun Tanda tanya mengenai dermawan yang menyumbang kos ubah suai rumah pusaka lima beradik itu akhirnya terjawab.

Semalam, saya berjaya mendapatkan Pengerusi Surau Madrasatul Iman, Taufek Sobaruddin Ismail. Menurut beliau, kos baik pulih rumah lima beradik itu menelan belanja RM30,000 termasuk pembelian perabot.

Ditanya, siapakah yang membiayai kos baik pulih itu, Taufek pada mula enggan beritahu. Sebagai kontraktor, kata Taufek, dia berasa terpanggil untuk membantu.

“Bukan saya seorang, rakan-rakanlain  dari Madrasatul Iman turut menyalurkan sumbangan,” katanya. Selain itu, kata Taufek, sumbangan juga diterima daripada daripada anggota jemaah Masjid Al-Mukhlisin, Alam Damai.

“Pihak surau akan uruskan perbelanjaan kos sara hidup dan pendidikan lima beradik ini bagi tempoh 15 tahun. Insya-ALLAH kami akan bantu jaga kebajikan mereka.

“Alhamdulillah kutipan setakat inimemberangsangkan,” katanya. Mereka yang ingin membantu anak-anak ini. boleh hubungi ibu saudara mereka, Zainah, 019-6065911.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");