Berita Hari Ini

Tidak perlu ragui status halal Cadbury

cadbury 1

SHAH ALAM – Penggemar coklat susu Cadbury tidak perlu meragui status halal produk keluaran syarikat berasaskan coklat, Cadbury Malaysia.

Penasihat Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut berkata, masyarakat tidak perlu meragui atau berasa was was terhadap produk Cadbury kerana apa juga produk makana yang disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dijamin halal.

Cadbury sebelum ini menerima tamparan hebat susulan dakwaan penemuan DNA babi dalam dua produknya, Cadbury Dairy Milk Hazelnut dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond.

Kedua-dua produk itu bagaimanapun telah disahkan halal dan bebas DNA babi oleh Jakim yang membuat ujian susulan dakwaan penemuan itu.

“Masyarakat perlu merujuk kepada pihak berkuasa seperti Jakim atau Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan yang berkaitan bagi memastikan atau mendapatkan pengesahan mengenai status halal sesuatu produk kerana mereka yang berada di jabatan ini mempunyai kepakaran tertentu,” kata Nooh Gadut dalam sidang media selepas sesi lawatan panel syariah bebas ke kilang Cadbury, semalam.

ARTIKEL BERKAITAN : [Cadbury: Panel syariah bebas pantau proses coklat]

Selain Nooh, hadir sama dalam sidang media itu ialah dua lagi panel syariah bebas iaitu Pengerusi Pertubuhan Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman, dan Penasihat Agama Islam Terengganu, Mohd Shukri Ali.

Turut hadir Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Ma’amor Osman.

Sementara itu, Ketua Hal Ehwal Korporat Mondelez Malaysia, Raja Zalina Raja Safran berkata, jemputan panel syariah bebas ke kilang itu adalah sebagai usaha meyakinkan kembali pengguna terhadap produk Cadbury.

“Ketika kontroversi berlaku, tanpa mendapat maklumat terperinci mengenai ujian yang dijalankan, kami mengambil inisiatif menjalankan ujian sendiri ke atas produk kami.

“Kami faham sekiranya masyarakat masih was-was dan kurang yakin. Bagi memperbetulkan semula keraguan penggemar coklat, kami menjemput panel syariah bebas untuk menilai dan melihat sendiri bagaimana pengurusan produk dilakukan,” katanya.

Katanya, Cadbury sentiasa komited dalam memastikan keperluan masyarakat dari aspek pemprosesan, prosedur halal, keselamatan dan kualiti produk.
Panel syariah bebas itu membuat semakan proses rantaian pembuatan dan bekalan dan diberi penerangan mengenai peralatan, tempat penyimpanan dan bahan-bahan digunakan untuk membuat coklat serta sijil berkaitan yang diiktiraf Jakim.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");