Jenayah

Tiga lokasi panas dikenal pasti

ops sikap

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengenal pasti tiga lokasi yang merupakan kawasan panas kemalangan di sekitar Lembah Klang.

Antara kawasan terbabit adalah arah Selatan (Jalan Sungai Besi- Jalan Tun Razak), Utara ( Selayang- Rawang) dan Timur (Kilometer 25.1 Lebuh Raya Utara Selatan).

Penolong Pengarah Penguatkuasa JPJ Wilayah Persekutuan, Norhadzli Mohd Azhar berkata, pihaknya akan mengadakan pemantauan di lokasi terbabit.

“Operasi pemantauan itu juga akan melibatkan beberapa agensi lain termasuk polis,” katanya.

Menurutnya, Op Hari Raya Aidilfitri 2014 selama 16 hari di seluruh negeri ini bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutamanya pada musim perayaan.

“Operasi yang bermula Isnin lalu akan berakhir pada 5 Ogos ini dan memberi tumpuan kepada pengangkutan awam terutamanya bas ekspres selain penunggang motosikal.

“Kita turut menjalinkan kerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), pemeriksaan juga dilakukan terhadap bas dan pemandunya supaya memiliki lesen sah serta bebas daripada pengaruh dadah,” katanya.

Norhadzli berkata, operasi itu melibatkan pemeriksaan kesempurnaan tayar kenderaan dan brek di depoh dan terminal bas.

“Kita menjalankan pemeriksaan bas di empat lokasi antaranya di Puduraya, Terminal Bersepadu Selatan Hentian Putra dan Genting Highlands,” katanya.

Katanya, operasi ini diadakan supaya pemandu bas mematuhi peraturan lalu lintas dan keselamatan ketika di jalan raya bagi mengelakkan sebarang kemalangan.

“Seramai 120 penguat kuasa JPJ Wilayah Persekutuan akan terlibat dalam operasi ini. Dua anggota penguat kuasa JPJ pula akan menyamar sebagai penumpang bas bagi mengesan pemandu yang tidak mematuhi peraturan,” katanya.

Katanya, pihaknya telah mengadakan pemeriksaan ke atas 620 buah bas sejak Isnin lalu sehingga kelmarin dan mendapati hanya seorang pemandu dipercayai positif dadah.

“Kita telah mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pemandu berkenaan, dipercayai pemandu bas itu dari destinasi luar ke ibu kota,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");