Membawang Hari Ini

Uji, Hail kirim doa

uji hail

Pinta keluarga mangsa nahas MH17 tabah, tujukan lagu raya buat mereka

Ketika umat Islam rancak membuat persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi, ada hati yang sedang berduka.

Tidak ada siapa mahu lebaran disambut sayu, apabila orang tersayang tiada di depan mata. Malah, lebih pedih jika mereka sudah tiada lagi di dunia ini.

Paling menyentuh emosi, insiden pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 ditembak dan terhempas di Ukraine hingga mengorbankan hampir 300 mangsa termasuk 44 rakyat Malaysia yang mengejutkan seluruh dunia.

“Susah menggambarkan perasaan keluarga mangsa MH17, kita hanya tengok daripada luar, mereka yang melaluinya.

“Saya terlalu sedih dan tidak sanggup untuk melihat apa yang sedang mereka lalui,” demikian luah penyanyi veteran, Uji Rashid kepada HIP.

Lantaran itu, Uji memberi dedikasi istimewa lagu raya dendangannya, Doa Di Hari Mulia kepada keluarga mangsa nahas MH17 terutama yang beragama Islam.

Sebagai hambaNya, Uji berpesan agar keluarga mangsa tabah dan reda dengan segala ketentuan Allah serta percaya hikmah yang menanti.
Beliau turut menitip pesan supaya semua pihak menghormati perasaan keluarga dan waris mangsa dalam musibah yang menyayat hati itu.

Tambahnya, semua pihak tidak wajar membuat kesimpulan sendiri mengenai kejadian itu, sebaliknya menyerahkannya kepada pihak berkuasa.

Pasangan duet Uji, Hail Amir turut berkongsi rasa sedih dan simpati dengan tragedi yang tidak pernah terlintas di fikiran siapapun.

Beliau berkata, pastinya kejadian itu meruntun banyak jiwa dek kehilangan orang tersayang. Malah, lebih getir kala cahaya lebaran makin menghampiri.

“Kita masih belum ada jawapan pasti untuk MH370, MH17 pula menjadi mangsa.

“Bagi saya hanya doa yang mampu dikirimkan dan berharap keluarga mangsa tabah dengan dugaan yang dihadapi,” katanya.

Di sebalik lagu Seloka di Hari Raya

Bercerita mengenai lagu raya dendangan pasangan itu, Seloka di Hari Raya, Uji dan Hail tidak menyangka lagu itu popular hingga hari ini.

Hail berkata, lagu ciptaan Datuk Ahmad Nawab manakala lirik ditulis Chuari Selamat itu dirakam sekitar tahun 1970-an di sebuah studio di Singapura.

“Kami rakamkan lagu ini secara berasingan. Saya rakam dulu disusuli Uji dan dimasukkan dalam sebuah album khas raya,” kata Hail mengimbau kenangan mengenai lagu berkenaan.

Ditanya formula menjadikan lagu itu malar segar malah menjadi seleksi wajib lagu raya, Hail berkata, susunan muzik yang menarik dan catchy menjadi resipi utama.

“Istimewanya lagu ini terletak pada muziknya. Apabila anda dengar, permulaan lagu saja sudah boleh menarik pendengar,” katanya.

Mengenai lagu raya zaman sekarang yang sukar menandingi melodi lagu lama, Hail berkata, masih ada lagu penyanyi generasi baharu yang mampu membawa mood raya.

“Contohnya lagu dendangan Datuk Siti Nurhaliza bagi saya sedap didengar dan kena dengan suasana raya,” katanya.

Hail turut mencadangkan kepada penyanyi baharu supaya menyelitkan sebuah lagu raya dalam album mereka sebagai strategi menarik minat pendengar.

Uji pula berkata, lagu duetnya bersama Hail mempunyai kekuatan tersendiri kerana mengetengahkan suasana gembira, berbanding lagu raya lain yang cenderung menceritakan kisah sedih.

“Lagu yang kami nyanyikan ini membawa suasana ceria sesuai dengan sambutan Aidilfitri serta lirik yang sangat cantik penceritaannya,” kata penyanyi yang terkenal dengan suara gemersik manja ini.

Diajak berkongsi memori ketika merakamkan lagu berkenaan, bintang filem Langit Tidak Selalu Cerah ini berkata, lagu Seloka di Hari Raya memang dicipta untuk dirinya dan Hail.

“Ahmad Nawab memang mengenali kami, daripada melodi hingga lirik, beliau tahu dan mahu sesuaikan dengan nyanyian saya dan Hail.

“Saya masih ingat beberapa kali beliau meminta Chuari menukar lirik supaya apa yang dinyanyikan kena dengan kami,” ceritanya.

-Berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");