Sukan Hari Ini

Usah harap keajaiban

kim swee

Kuala Lumpur: Pengendali sementara skuad kebangsaan Datuk Ong Kim Swee berharap jurulatih baru Dollah Salleh akan diberikan ruang untuk membentuk pasukannya walaupun hakikatnya beliau sudah kesuntukan masa bagi misi pertama di Piala AFF November ini.

Menurut Kim Swee, beliau menyambut baik keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melantik Dollah bagi membimbing skuad Harimau Malaya kerana jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dianggap memiliki kelebihan tersendiri.

“Memang masa agak suntuk untuk Dollah membuat persiapan bersama skuad kebangsaan kerana Piala Malaysia akan berlangsung selepas ini. Tapi yang positifnya Dollah sudah mengenali pemain yang bakal dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan.

“Kita tidak boleh mengharapkan keajaiban sebaliknya perlu memberi Dollah masa untuk membentuk pasukan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro di Brisbane, Australia semalam.

FAM pada Sabtu lalu membuat keputusan menawarkan kontrak dua tahun kepada Dollah, 50, bekas penyerang kebangsaan bagi membimbing Harimau Malaya menggantikan Datuk K Rajagobal yang tamat kontrak pada 31 Disember lalu.

Dollah mengetepikan calon luar negara dari Jerman Wolfgang Sidka dan Gert Engels untuk menduduki kerusi panas itu.

Namun Kim Swee yang turut disebut-sebut sebagai calon pilihan selepas berjaya membimbing Harimau Malaya dalam tiga perlawanan antarabangsa pada awal tahun ini, tidak berkecil hati dengan keputusan FAM itu.

“Apa yang penting kita sudah mendapat jurulatih skuad kebangsaan yang baru. Jadi saya boleh fokus kepada persiapan skuad bawah 23 tahun ke Sukan Asia Incheon September ini dan Sukan SEA Singapura tahun depan.

“Saya tidak ada masalah bekerjasama dengan Dollah jika khidmat saya diperlukan untuk membantunya kerana saya jurulatih skuad Harimau Muda,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");