Jenayah

100 rumah terjejas banjir kilat

banjir 3

HUJAN lebat Ahad lalu dan sistem perparitan yang tidak sempurna dikenal pasti punca lebih 100 rumah di Taman Meru Perdana, di sini, dilanda banjir kilat.

Wakil penduduk, Rizal Saad, 35, berkata, kebanyakan longkang di kawasan itu bersaiz kecil dan tidak mampu untuk menampung jumlah air hujan, selain terdapat projek perumahan berhampiran.

“Air yang mengalir deras dari anak sungai dan kawasan projek perumahan berhampiran menyebabkan keadaan menjadi bertambah buruk,” katanya.

Menurutnya, kawasan yang teruk dilanda bencana tersebut adalah di sekitar kawasan Jalan Meru Perdana 5 dan 7.

“Walaupun kawasan perumahan ini baharu dibuka dan didiami dua tahun lepas, namun kami kerap dilanda banjir,” katanya kepada Sinar Harian.

Rizal berkata, masalah itu turut mendapat perhatian Adun Manjoi, Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin dan beliau meminta supaya pihak berkenaan mengambil tindakan segera.

“Pada awal Julai lalu Mohamad Ziad ada turun padang lakukan lawatan dan penduduk mengadu kepadanya berhubung masalah tersebut.

“Hasil aduan itu, beliau minta pihak yang terlibat segera ambil tindakan untuk elak banjir kilat bertambah serius,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi wakil penduduk, Ishak Abdullah, 42, berkata, akibat banjir kilat bahagian hadapan rumahnya sering ditenggelami air yang bercampur lumpur.

“Lumpur yang bercampur air hujan itu menyebabkan kawasan persekitaran rumah menjadi kotor,” katanya.

Menurutnya, walaupun pihak berkenaan ada menyediakan kolam tadahan namun masih tidak dapat mengatasi masalah ini.

“Selain itu, parit yang dibina oleh pemaju kawasan berhampiran untuk elak banjir juga gagal menampung kapasiti air.

“Dalam masa sama, saya tidak menolak faktor pembangunan di sekeliling kawasan perumahan itu menjadi punca bencana ini,” katanya.

Sementara itu, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memaklumkan, masalah berkenaan sudah berada di bawah pemerhatian mereka dan akan mendapatkan perkembangan terkini susulan isu yang dibangkitkan.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");