Membawang Hari Ini

Album baharu Jac temui peminat September

jac

Berbekalkan buah tangan terkini, Remedy, iaitu single yang diedarkan melalui lebih 80 medium digital kira-kira sebulan lalu, penyanyi yang dikenali dengan tarikan nada tinggi, Jaclyn Victor, berada di Los Angeles, California, Amerika Syarikat, dari 5 hingga 13 Julai.

Single berkenaan membawa dimensi baharu bagi hala tuju muzik Jaclyn atau Jac.

Dengan gabungan melodi dan lirik arus perdana pop, penyampaian vokal ala R&B dan susunan muzik berunsurkan dansa elektronik, Remedy dikatakan lagu yang mempunyai rencah terbaik untuk muncul sebagai single popular.

Justeru, syarikat yang menaungi dirinya, KRU Music, menyusun perancangan komprehensif bagi memasarkan lagu terbabit ke persada antarabangsa.

Remedy ialah satu daripada single yang dimuatkan dalam album berjudul Unleashed, yang akan berada di pasaran September ini.

Diterbitkan oleh penerbit yang juga komposer terkenal, Edry Abdul Halim, album ini turut menampilkan empat lagi single iaitu Pinnacle, Sweeter Than A Dream, Over And Over dan Delirious.

Album itu dirakamkan sepenuhnya di Kuala Lumpur, manakala proses adunan dan mastering pula dilakukan di Los Angeles.
Ditawar rakam lagu di AS

Sebaik tiba di kota perfileman itu pada 6 Julai lalu, Jaclyn mengadakan persembahan di Whisky A Go Go, West Hollywood Sunset Boulevard.

Di lokasi terkenal itu, Jac mempamerkan kekuatan vokal dan persembahan cukup bertenaga apabila mempersembahkan lima lagu terbaharunya dan dua lagu popular dendangan artis lain iaitu Rolling In The Deep dan If I Ain’t Got You.

Peluang mengadakan persembahan berkenaan tentunya mampu dianggap salam perkenalan penyanyi ini dengan penggiat muzik di sana.

Di Los Angeles, Jac turut ditawarkan merakam lagu oleh seorang DJ yang juga produser, Rick Dixon, atau lebih dikenali sebagai Rick One. Beliau pernah bekerjasama dengan kumpulan terkenal, The Black Eyed Peas.

Jayakan sesi temu bual

Selain mengadakan persembahan, Jac juga menjayakan sesi temu bual bersama beberapa stesen radio di Los Angeles untuk mempromosikan single terbabit. Beliau juga berkesempatan menjadi tetamu program televisyen, antaranya program Kababayan Today yang disiarkan di saluran LA18.

Penyanyi ini turut menjadi tetamu jemputan di LA Artsonline.com pada 10 Julai. Peluang diundang ke acara Annual Hollywood Bowl Pre-Concert Picnic itu tentunya dianggap pengalaman begitu berharga apabila beliau dapat menyaksikan persembahan ramai penyanyi popular dengan persembahan orkestra yang mantap.

Selama berada di negara Uncle Sam, Jac berjaya mendapat keyakinan dan didedahkan dengan industri muzik antarabangsa, sesuai perancangan KRU untuk memasarkan albumnya ke peringkat global.

-Berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");