Berita Hari Ini

Altel bakal lancar pasca bayar

PENERIMA slot terbesar spektrum 4G tempatan, Altel Communication Sdn Bhd (Altel) bakal melancarkan perkhidmatan pasca bayar menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Operasinya, Rizwal Mohd Ain berkata, syarikatnya dalam perancangan untuk membina infrastruktur bagi melancarkan perkhidmatan pasca bayar itu.

“Buat masa ini kami berada landasan yang betul. Namun masih banyak lagi usaha-usaha yang perlu dijalankan untuk menuju ke arah itu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di Pejabatnya di Oasis Square, Ara Damansara, Kuala Lumpur.

Menurutnya, Altel diwujudkan untuk menjadi satu alternatif kepada syarikat telekomunikasi lain di dalam pasaran.

“Apa yang membezakan adalah kami mengutamakan pandangan pelanggan dengan mengambil kira maklum balas dalam usaha untuk menambah baik perkhidmatan kami pada masa akan datang.

“Kami mahu menjadi syarikat telekomunikasi yang memenuhi apa yang pelanggan perlukan dan bukannya mengikut pandangan syarikat,” katanya.

Setakat ini, Altel mempunyai 2,500 pengedar di seluruh negara termasuk 37 pengedar VIP. Altel turut mempunyai 18 cawangan kedai eksekutif Altel.

Rizwal berkata, syarikatnya turut menyasarkan peningkatan sehingga 3,500 hingga 4,000 pengedar dalam bulan ini.

Menurutnya, pihaknya menerima permintaan yang tinggi untuk memohon sebagai pengedar sepanjang bulan ini.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 75 peratus adalah pengedar Bumiputera. Kami yakin untuk mencapai 10,000 pengedar menjelang akhir tahun ini di seluruh negara dan Sarawak hanya bermula Ogos ini,” katanya.

Mengulas isu pengedar cuba mensabotaj produk syarikat itu seperti yang dilaporkan sebelum ini, Rizwal berkata, pihaknya sudah mengenal pasti pengedar dan pengadu.

“Bagaimanapun, selepas siasatan pihak pengedar menerangkan ia tidak pernah berlaku. Namun jika berlaku, ia tidak sepatutnya dilantik menjadi pengedar kerana kami memerlukan pengedar yang komited dan sehaluan dalam usaha untuk membangunkan syarikat,” katanya.

Menurutnya, Altel mengambil serius aduan pelanggan sama ada menerusi laman sosial dan talian khidmat pelanggan.

Pihaknya ada menerima aduan susah mencari sim kad, mungkin ada yang disebabkan oleh stok yang habis.

Katanya, isunya bukanlah disebabkan sim kad sukar untuk diperoleh tetapi disebabkan syarikatnya masih tidak mempunyai rangkaian pengedar yang ramai di setiap pelosok negara.

“Sebagai syarikat baru, kami hanya memasuki bandar-bandar besar terlebih dahulu sebelum ke kawasan lebih dalam. Mungkin ada produk kami yang masih tidak sampai sehingga timbul persepsi itu,” katanya.

Tambah nilai Altel kini boleh diperoleh semua stesen minyak yang menyokong e-pay, 7-Eleven, Mydin, Tesco, secara online menerusi RHB Bank dan Cimb Clicks.

“Kami dalam perbincangan dengan Maybank untuk menembusi kemudahan Maybank2u dan mesin juruwang automatik pada masa akan datang,” katanya.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");