Berita Hari Ini

Anifah ketuai delegasi Malaysia ke Myanmar

anifah aman 1

KUALA LUMPUR – Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mengetuai delegasi Malaysia ke beberapa siri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean di Naw Pyi Taw.

Mesyuarat terbabit ialah Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS FMM) ke-4, Forum Serantau Asean (ARF) ke-21 dan Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar Asean (PMC) dengan New Zealand serta Australia.

Kenyataan Kementerian Luar semalam menyebut EAS FMM ke-4 dan ARF ke-21 dipengerusikan Menteri Luar Republik Myanmar, U Wunna Maung Lwin.

Menurut kenyataan itu, ketika EAS FMM, menteri terbabit mengambil perhatian terhadap laporan Setiausaha Agung Asean berhubung status pelaksanaan Projek Kerjasama EAS dan menerima Pelan Tindakan berkaitan Deklarasi Phnom Penh mengenai Inisiatif Pembangunan EAS.

“Mereka turut bertukar pandangan berhubung isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama terutama yang berkaitan dengan keamanan serta keselamatan serantau termasuk Laut China Selatan dan Semenanjung Korea,” katanya.

Semasa mesyuarat itu, Anifah turut bercakap tentang insiden pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH17 yang ditembak jatuh.

Kenyataan itu menyebut ARF ke-21 pula berlangsung dalam format retreat di mana Menteri-Menteri Luar 27 negara yang mengambil bahagian bertukar-tukar pandangan berhubung situasi politik dan keselamatan selain cabaran keselamatan yang dihadapi rantau ini.

“Penekanan diberi terhadap pembangunan di Timur Tengah terutama tindakan kejam tentera Israel di Gaza, situasi di Afrika Utara, keselamatan maritim di Laut China Selatan dan situasi di Semenanjung Korea.

“Kesemua Menteri Luar turut membincangkan isu keselamatan di luar kebiasaan seperti pengawalan senjata dan penyeludupan manusia serta perdagangan haram najis dadah,” katanya.

Di luar mesyuarat ARF ke-21, Anifah dan Menteri Luar China Wang Yi serta Lwin, melancarkan logo ARF DiRex 2015.

ARF DiRex ialah acara dwitahunan yang menjadi platform perangkaian dan pertukaran kepakaran dalam kalangan Negara Anggota ARF, dan akan dianjurkan bersama oleh Malaysia dan China di Kedah mulai 1 hingga 6 Februari 2015.

Selain itu, Anifah mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya dari Timor Leste iaitu Dr Jose Luis Guterres. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");