Berita Hari Ini

Aplikasi kemerdekaan ‘ Citra Merdeka 57’ dilancar

Aplikasi

PUTRAJAYA – Aplikasi mudah alih yang memuatkan sejarah kemerdekaan negara yang dikenali sebagai “Citra Merdeka 57” diperkenalkan hari ini.

Dibangunkan dengan kerjasama Multimedia Development Corp (MDeC), Universti Malaysia Kelantan dan Arkib Negara, aplikasi yang dilancarkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di sini, boleh dimuat turun melalui platform Android secara percuma tidak lama lagi.

“Ini merupakan pertama kali kemerdekaan itu dipersembahkan dalam bentuk aplikasi mudah alih untuk menerangkan secara mudah mengenai sejarah kemerdekaan negara kita,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran di sini hari ini.

Beliau berkata aplikasi itu mempunyai kemampuan untuk dikembangkan maklumat dan kandungannya seperti jadual dan lokasi sambutan kemerdekaan setiap tahun.

“Sebagai contoh acara pameran aset tentera, kita mungkin boleh dapatkan koordinat lokasi bagi acara itu atau cara bagaimana mahu ke sana jika menggunakan kenderaan awam,” katanya.

Mengenai acara Memori Chow Kit Road bersempena sambutan kemerdekaan tahun ini, Ahmad Shabery berkata acara berjalan secara terkawal mengikut garis panduan yang diberikan.

“Semua persembahan akan disesuaikan mengikut keadaan sekarang dan lagu-lagu yang akan dipersembahkan akan berkisar mengenai kesatuan yang menghidupkan semangat kemerdekaan,” katanya.

Sementara itu, Pas menganjurkan Konvoi Jelajah Merdeka bermula 16 Ogos sehingga 30 Ogos ini di beberapa negeri di Semenanjung bagi menyemarakkan rasa cinta kepada negara.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia  2014 Pas, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib berkata konvoi itu akan menziarahi kubur-kubur pejuang terdahulu antaranya Tok Janggut, Mat Kilau dan Datuk Bahaman yang kian dilupakan jasanya.

Dalam konvoi itu, 10 peserta utama konvoi bermotosikal kuasa tinggi memulakan penjelajahan dari negeri-negeri di Pantai Timur seterusnya ke Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka.

Bercakap kepada pemberita selepas melepaskan peserta-peserta konvoi utama yang singgah ke Putrajaya di Dataran Putra di sini hari ini, Muhammad berkata  konvoi itu akan berakhir di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada malam 30 Ogos untuk meraikan malam ambang merdeka.

“Peserta konvoi utama ini akan disambut peserta bermotosikal di setiap negeri yang mereka singgah, menjadikan kira-kira 1,000 peserta akan terlibat dalam konvoi berkenaan,” katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");