Sukan Hari Ini

Azmi puas hati kesungguhan pemain

azmi mohamed

AKSI cemerlang Johor Darul Ta’zim II (JDT II) menumpaskan Lions XII dalam perlawanan ketiga Kumpulan A, Piala Malaysia 2014 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, di sini, malam kelmarin memberi kegembiraan kepada pengendalinya, lapor AZIZAN INCHE HARUN.

Ketua Jurulatihnya, Azmi Mohamed mengakui berpuas hati dengan kesungguhan anak buahnya mempamerkan aksi yang bertenaga meskipun skuadnya tempang tanpa kehadiran pemain utama, Shahril Ishak yang mengalami kecederaan dan Nicolas Delmonte yang digantung perlawanan.

Menurutnya, amanat dan pesanan yang disampaikan kepada pemain selepas tewas kepada Felda United pada perlawanan lalu ternyata membangkitkan semangat anak didiknya sehingga masing-masing menunjukkan semangat berpasukan yang tinggi.

“Memang bahagian kiri dan kanan kita sedikit tidak berfungsi, namun kita cuba atasinya melalui serangan yang banyak dilakukan pada bahagian tengah.

“Walaupun tanpa Shahrir dan Nicolas, tapi saya ingatkan pemain bahawa mereka perlu melihat kepada kesungguhan berpasukan, bukan pada individu dan ternyata kesungguhan membuatkan kita menang pada malam ini (kelmarin).

“Saya juga ingatkan pemain selepas tewas kepada Felda United, adakah kita akan berakhir di sini kerana sekurang-kurangnya kita mampu bersaing hingga ke peringkat akhir,” katanya kepada pemberita, selepas perlawanan bertemu Lions XII, di sini, malam kelmarin.

Azmi berkata, memang diakui bakal berdepan detik sukar bertemu Lions XII di Stadium Jalan Besar nanti, namun kehadiran Nicolas mampu memberi saingan sengit untuk mengutip tiga mata berharga di tempat lawan.

Katanya, aksi cemerlang yang ditunjukkan pada malam ini (kelmarin) diharap mampu dibawa ke Singapura untuk menumbangkan pasukan itu sekali lagi.

“Walaupun sukar berkunjung ke tempat lawan nanti, tapi kita akan cuba bersaing untuk mendapatkan mata di sana.

“Walaupun tanpa Shahrir yag direhatkan sebulan kerana kecederaan, tapi kita percaya dengan kehadiran Nicolas mampu membantu pasukan memberi saingan hebat kepada lawan,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");