Jenayah

Bakal pengantin maut kemalangan

maut

MUAR – Hasrat seorang jururawat melangsungkan perkahwinan hujung minggu ini, tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di kilometer 148 arah utara Lebuh Raya Utara Selatan dekat Pagoh, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi, Amirah Abd Rahim, 25, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan.

Mangsa bertugas di Klinik Kesihatan Bukit Gambir, Ledang dijadualkan akan mendirikan rumah tangga pada 30 Ogos ini, bersama tunangnya yang berasal dari Segamat.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Kancil yang dipandu mangsa hilang kawalan seterusnya melanggar pembahagi jalan di bahagian kiri lebuh raya.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan bahagian kiri kereta terbabit remuk teruk dan mangsa meninggal dunia.

“Mangsa yang dalam perjalanan pulang dari rumah ibu bapanya di Rengit, Batu Pahat ke tempat kerjanya di klinik tersebut,” katanya.

Azman berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tangkak, dekat sini, untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.Pegawai Bomba Kanan 2, Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Razali

Ismail berkata, seramai enam anggota bersama sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan jam 7.20 pagi.

“Semasa tiba di tempat kejadian, mangsa sudah meninggal dunia dan pihaknya mengambil masa selama 10 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Abd Rahim Sobri, 48, sedih kerana anaknya meninggal dunia ketika menghampiri majlis perkahwinannya.

“Saya tidak tahu anak sudah meninggal kerana hanya dimaklumkan oleh pihak bomba bahawa arwah terbabit kemalangan.

“Saya tahu (anak meninggal dunia) apabila tiba di lokasi kejadian melihat satu jasad terbujur kaku ditutup dengan kain,” katanya.

Bapa kepada tiga anak itu turut mengakui terkejut melihat anak sulungnya berada dalam keadaan tidak bernyawa kerana mereka bersalaman sebelum Amirah bertolak pulang ke tempat kerjanya, kira-kira jam 6 pagi.

“Petang Khamis selepas waktu kerja arwah pulang ke kampung menguruskan persiapan majlis perkahwinannya yang hampir siap.

“Arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jambi, Rengit selepas solat Asar,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");