Sukan Hari Ini

Belum mengaku kalah

azizul

Glasgow: Chef-de-Mission Datuk Ong Poh Eng masih belum mengaku kalah dan tetap yakin tujuh emas yang disasarkan akan menjadi kenyataan.

Beliau yang tidak henti-henti melawat setiap gelanggang bagi memberi galakan kepada atlet negara yakin semangat mereka tetap membara.

“Saya seorang pejuang dan tidak akan mudah mengaku kalah. Selagi temasya masih berlangsung, selagi itu saya masih berharap kita boleh melakukannya,” katanya.

Berdasarkan kepada beberapa acara yang sebelum ini disasarkan emas seperti Azizulhasni Awang (keirin), Nur Ayuni Farhana Adul Halim dan Bibiana Ng (menembak), Constantine Clement (angkat berat) dan pasangan Leong Mun Yee-Cheon Jun Hoong (10m platform seirama), sasaran kontinjen negara nampak semakin sukar.

Malah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong turut mengakui agak mustahil untuk mencapai sasaran itu sekarang.

Poh Eng mengakui agak terkilan beberapa acara yang diyakini emas tidak menjadi kenyataan tetapi percaya pingat itu akan hadir juga daripada acara lain.

“Berdasarkan prestasi skuad badminton, saya yakin tiga atau empat emas akan menjelma menerusi perseorangan lelaki, wanita, beregu lelaki dan wanita.

“Saya juga tetap menaruh harapan kepada penerjun negara sekurang-kurangnya dua pingat emas,” katanya.

Ditanya kegagalan Mun Yee-Jun Hoong yang berada dalam ranking lebih baik berbanding pemenang pingat emas dari Kanada selepas meraih pingat perak pada Kejohanan Dunia di Shanghai tetapi gagal memenangi sebarang pingat, Poh Eng akur itu satu kerugian.

Mereka sepatutnya memenangi emas seperti yang dijangka, namun dalam sukan subjektif semuanya bergantung kepada juri.

Menurut beliau, sebagai Chef-de-Mission, beliau seboleh-bolehnya tidak mahu mengulas kegagalan atlet negara kerana mereka masih lagi berjuang di gelanggang.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");