Berita Hari Ini

Bentuk kerajaan Konsensus Nasional

dr mohd zuhdi

SHAH ALAM – Kerajaan berkonsepkan Konsensus Nasional boleh dibentuk bagi tangani kemelut politik berpanjangan di Selangor sekali gus mengekalkan kedudukan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, selain kekalkan kedudukan menteri besar sebagai Adun Bebas dan barisan exco sedia ada, ia juga dapat menjadikan BN sebagai pembangkang yang mesra kerajaan.

“Perkara ini juga menjadi inti pati penting kepada keputusan Majlis Syura Ulama Pas yang memutuskan untuk mengekal (Abdul Khalid), atas asas kepentingan (maslahah) rakyat perlu didahulukan daripada kepentingan individu dan parti,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, bagi menjayakan Konsensus Nasional ini, Majlis Permuafakatan Selangor yang melibatkan PR, BN atau Adun Bebas boleh ditubuhkan.

“Penting untuk menteri besar dan barisan exco dikekalkan memandangkan banyak program jangka pendek dan panjang sudah dirancang demi kepentingan rakyat. Pertukaran hanya akan membantutkan segala usaha dan perancangan yang telah dibuat.

“Perubahan pada tampuk kepimpinan kerajaan negeri bukan sahaja menjejaskan kestabilan politik tetapi merencatkan usaha menarik pelabur ke Selangor dan Malaysia umumnya,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, BN di Selangor boleh diberi tanggungjawab bersama dalam pentadbiran negeri khususnya menjadi kuasa semak dan imbang yang diiktiraf, sebagai contoh melantik seorang Adun dari BN untuk mengetuai Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai

Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat).

“Secara peribadi, saya melihat ini penyelesaian terbaik kepada kemelut politik Selangor dan dapat memuaskan hati semua pihak serta mengelak daripada pilihan raya diadakan semula.

“Konsep ini pernah diuar-uarkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim selain pernah disuarakan Perdana Menteri, dengan istilah Rekonsilasi Nasional,” katanya.

Menurutnya, sepatutnya kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat dan kemudian diperkenan Sultan Selangor diberi peluang adil menjalankan tanggungjawab.

“Pimpinan politik ada peluang setiap lima tahun sekali untuk tukar kerajaan seterusnya tukar individu yang memimpin sesebuah kerajaan. Sistem penukaran kerajaan dan pemimpin berdasarkan semangat demokrasi seperti ini akan wujudkan politik yang
harmoni dan stabil,” katanya.

Beliau berkata, kemelut politik di Selangor sepatutnya tidak timbul jika pimpinan mengambil sikap mendahulukan kepentingan rakyat seperti menyelesaikan krisis air, basmi salah guna kuasa, penurunan kos sara hidup dan penyediaan rumah mampu milik.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");