Laporan Eksklusif

Beri Ruang, Peluang Kepada PM Kemudi Negara

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu diberi ruang dan peluang untuk mengemudi kerajaan dengan caranya yang tersendiri.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menyifatkan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengkritik dasar kerajaan dari semasa ke
semasa sebagai sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan.

Bekas perdana menteri itu katanya, masih dan terus mengambil berat tentang hal-hal negara tetapi kenyataan beliau yang menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri adalah sesuatu yang luar biasa. 

“Saya percaya mungkin teguran Tun Mahathir adalah sebagai bapa kepada anak. Kita hormat Tun Mahathir sebagai ‘bapa’. Cuma, alangkah baiknya jika teguran seorang bapa kepada anak tidak dibuat secara terbuka dan bukan di khalayak ramai.

“Sebagai menteri dalam kerajaan di bawah pimpinan Najib, saya merasakan kadangkala Tun Mahathir mungkin membuat tafsiran yang kurang tepat terhadap Perdana
Menteri.

“Saya percaya Perdana Menteri sentiasa terbuka dengan pandangan pelbagai pihak dan mengambil berat setiap kritikan, terutama daripada tokoh negara seperti Tun Mahathir,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
 
Ismail Sabri yang juga merangkap Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menegaskan, setiap Perdana Menteri mempunyai gaya kepimpinan tersendiri dan secara peribadi mereka mempunyai isu-isu rakyat yang rapat dengan hati masing-masing.

Negara Malaysia tambahnya, sungguh bertuah kerana dianugerahkan Perdana Menteri yang sentiasa meletakkan rakyat di tempat paling atas dari zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein, zaman Tun Mahathir sendiri dan kemudian membawa kepada era Tun Abdullah dan kini di bawah kepimpinan Najib. 

Beliau berkata, melalui dasar pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dikritik Tun Mahathir misalnya, Perdana Menteri menunjukkan keprihatinan beliau kepada permasalahan rakyat ketika kos sara hidup menjadi isu yang membara di Malaysia dan juga di
seluruh dunia.

Ketika Tun Mahathir menyumbang bakti sebagai ketua kerajaan dahulu (1981-2003), beliau mempunyai cara tersendiri untuk menangani implikasi isu kos sara hidup, katanya lagi.

“Tetapi mungkin persekitaran dan betapa mudaratnya
isu tersebut ketika itu tidak memerlukan pendekatan seperti yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri sekarang,” katanya.

Menyentuh kenyataan BR1M membazir duit negara, persepsi tersebut adalah salah kerana ia sebenarnya merupakan
cara baru pembayaran subsidi kepada yang lebih layak dan kumpulan sasar yang tepat, kata beliau lagi.

Tambahnya, apabila subsidi minyak dikurangkan, penjimatan daripada subsidi digunakan untuk pemberian BR1M.

“Jika tidak, rakyat berpendapatan rendah akan menghadapi tekanan akibat kenaikan harga minyak yang memberi kesan kepada kenaikan barangan lain.

“Ini merupakan langkah bijak Perdana Menteri dalam memastikan kesejahteraan rakyat tidak terjejas sekaligus mengurangkan defisit negara.

“Tidak mungkin dasar ini silap sedangkan Malaysia telah mencapai kadar pertumbuhan 6.4% untuk suku tahun kedua 2014 dan merupakan pencapaian pertumbuhan terbaik di kalangan negara ASEAN,” tegas beliau lagi.

Ismail Sabri menegaskan bukan maknanya cara lama tidak bagus tetapi kita wajar memperhalusi bahawa sesuatu dasar kerajaan di Malaysia juga digubal dan dipengaruhi statistik baharu, input semasa daripada para pegawai
kerajaan, fakta-fakta yang diketengahkan oleh rakyat melalui parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) serta mendapat sokongan rakan-rakan dalam kepimpinan kerajaan.

“Dalam kesemua kritikannya terhadap Perdana Menteri, saya berpendapat Tun Mahathir perlu melihatnya dalam konteks yang dinyatakan tadi.

“Sebagai Ketua UMNO Bahagian Bera yang mewakili seluruh ahli jawatankuasa dan ahli UMNO, saya menzahirkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Perdana Menteri serta menyokong segala dasar-dasar yang diperkenalkan selama ini,” katanya.
 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");