Sukan Hari Ini

Bisa anak watan

gol

Kuala Terengganu: Tindakan bijak pengendali Terengganu Abdul Rahman Ibrahim menurunkan dua penyerang tempatan, Mohd Nor Farhan Muhamad dan Abdul Manaf Mamat sepanjang 90 minit nyata membuahkan hasil apabila skuad Penyu merakam kemenangan 2-1 ke atas Perak, malam kelmarin.

Dua penyerang import yang dibawa masuk ketika jendela kedua perpindahan pemain, Moustapha Dabo dari Senegal dan Andres Estupinan (Colombia) langsung tidak diturunkan berikutan prestasi tidak konsisten biarpun Estupinan tersenarai dalam barisan pemain simpanan.

“Kita ketepikan dua penyerang import itu kerana ada sedikit kekurangan dari segi penyudah dan tidak konsisten. Hal ini menyebabkan kita meletakkan dua pemain tempatan untuk menghidupkan jentera serangan.

“Strategi ini nyata berhasil. Aksi dua pemain kebangsaan itu tidak mengecewakan apabila menghasilkan jaringan pada setiap babak sekali gus kita berjaya mengutip tiga mata untuk bersaing dalam kumpulan,” katanya.

Selain itu, jurulatih berusia 68 tahun itu turut mengakui taktikal yang dirancang menjadi pemangkin kejayaan pasukannya meskipun banyak peluang keemasan untuk menghasilkan jaringan lebih banyak, tidak dapat disudahkan dengan baik.

Abdul Rahman juga tidak menolak kejayaan menumpaskan Kedah minggu lalu menjadi pembakar semangat pemain yang beraksi dengan baik dan tersusun.

Katanya, kehadiran penonton yang begitu ramai juga turut mendorong pemain beraksi dengan lebih baik dalam misi mengutip tiga mata untuk berada dalam dua pasukan terbaik setiap kumpulan untuk layak ke suku akhir.

“Secara keseluruhannya saya puas hati tahap permainan pemain biarpun menang tipis dan mengharapkan pada pertemuan pusingan kedua bertemu lawan sama di Stadium Perak, 27 Ogos ini, pemain mampu menterjemahkan dengan kemenangan,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");