Ipoh :Perak membuat permulaan baik dalam kempen Piala Malaysia Kumpulan B apabila menumpaskan Kedah 2-1, malam tadi.
Berikutan kemenangan itu pasukan Bos Gaurus akhirnya menamatkan badi kekalahan lima perlawanan di tangan Kedah, sebelum ini.
Pada perlawanan malam tadi, Milan Purovic dan Hafiz Ramadan menjaringkan gol pada minit ke-10 dan 51 untuk membolehkan tuan rumah mengutip mata penuh pada aksi sulung.
Malah Perak sebenarnya mampu memenangi perlawanan dengan jaringan lebih besar jika peluang terhidang diterjemahkan menjadi gol oleh Abdulafees Abdulsalam.
Kedah seperti dijangka memberikan cabaran sengit kepada tuan rumah, tetapi kekentalan benteng Perak yang dikemudi Mohd Hisyamuddin Shaari berupaya mengekang asakan lawan.
Aksi kemas dan tersusun anak buah Tan Cheng Hoe membuatkan penyokong tuan rumah resah, mujur jentera serangan Helang Merah agak tumpul.
Sebaliknya Purovic menunjukkan ketajaman apabila menyambut hantaran silang Abdulafees untuk menceriakan penyokong termasuk Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Namun kesilapan Idris Ahmad menyaksikan Perak dihukum apabila Kedah menyamakan kedudukan melalui Billy Osman Mehmet.
Bagaimanapun Perak bangkit pada babak kedua dan berjaya memperoleh gol kemenangan melalui rembatan kencang Hafiz selepas mendapat lorongan Purovic.
-Metro