Sukan Hari Ini

Burnley tambah kecewa United

DI MARIA (atas) membuat penampilan pertama bersama United ketika seri tanpa jaringan dengan Burnley di Turf Moor malam tadi:-

LONDON – Kekecewaan Manchester United pada kempen Liga Perdana England musim ini berterusan selepas seri tanpa jaringan dengan Burnley di Turf Moor malam tadi.

Kehadiran pemain termahal Britain, Angel di Maria gagal membantu skuad The Red Devils melakar kemenangan sulung sepanjang tiga perlawanan pertama liga domestik musim ini.

Di Maria yang ditandatangani daripada Real Madrid dengan yuran perpindahan sebanyak 59.7 juta pound (RM312 juta) pada Selasa lalu mempamerkan bakat yang dimilikinya.

Pemain sayap Argentina itu memperoleh dua peluang terbaik untuk meledakkan gol pada babak pertama tetapi hantaran bola yang diterima daripada Robin van Persie berjaya ditepis penjaga gol pasukan tuan rumah, Tom Heaton.

Selain itu, percubaan Juan Mata sedikit tersasar selepas menerima hantaran lintang daripada di Maria.

Bagaimanapun, jentera serangan United yang diketuai Wayne Rooney dan Danny Welbeck dilihat masih kekurangan idea untuk menjaringkan gol.

Skuad bimbingan Louis van Gaal itu sekadar mengumpul dua mata daripada tiga perlawanan pertama selepas tewas 1-2 kepada Swansea City dan seri 1-1 dengan Sunderland.

Selain itu, United turut dimalukan dengan kekalahan 0-4 oleh kelab Divisyen Tiga, Milton Keynes Dons pada pusingan kedua Piala Liga, Rabu lalu.

Kegagalan tersebut dilihat berpunca daripada taktikal tiga pemain pertahanan yang digunakan van Gaal.

Sementara itu, van Gaal turut mengumumkan beberapa jam sebelum perlawanan itu bahawa mereka berjaya mencapai persetujuan dengan Ajax Amsterdam bagi menandatangani pemain pertahanan Belanda, Daley Blind.

Kehadiran Blind dijangka mampu mengatasi masalah di posisi pertahanan United.

Dalam pada itu, keputusan seri itu sudah memadai buat Burnley yang kembali menyertai kempen Liga Perdana England untuk mengutip mata pertama.

– Agensi

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");