Membawang Hari Ini

Cinta Ibadah Melly

melly

Melihat perubahan imej berhijab yang berlaku terhadap ramai selebriti kala ini turut membuka hati penyanyi dan kompo­ser dari Indonesia, Melly Goes­law untuk mengenakan hijab sepenuhnya selepas pulang dari mengerjakan umrah tiga bulan lalu.

Melly yang ditemui selepas pelancaran drama bersiri Cinta Ibadah de­ngan dia menyanyikan lagu tema drama berkenaan berkata, hasratnya untuk mengenakan hijab sudah lama terbuka tiga tahun lalu apabila kali pertama dia mengerjakan umrah.

“Ketika pertama kali pergi umrah saya sudah terfikir untuk berhijab namun waktu itu perasaan berbelah bahagi kerana bimbang kalau-kalau orang sekeliling tidak boleh menerima penampilan baru saya.

“Apatah lagi saya turut terfikir jika anak-anak tidak suka dan akan me­ngutuk penampilan saya seperti mak cik-mak cik. Namun apabila kembali ke tanah air selepas mengerjakan umrah untuk kali kedua tiga bulan lalu, saya bulatkan tekad untuk terus menutup kepala tanpa bertanya pandangan sesiapa.

“Malah, saya gembira suami dan anak-anak merestui perubahan ini. Rakan artis seperti Rossa juga sangat gembira melihat perubahan baru saya ini kerana dia seorang daripada teman artis yang banyak menyokong saya untuk berhijab, malah dia juga meminta saya mendoakan dia berhijab sama,” katanya.

Walaupun sudah berhijab, Melly berkata, gaya penampilannya yang unik tidak akan berubah namun dia masih membataskan penampilan supaya selari de­ngan nilai-nilai keislaman.

“Semua orang sedar akan penampilan unik saya. Walaupun sudah berhijab saya tetap seperti Melly yang dulu dan gaya saya tetap unik seperti dulu juga, Jika dulu uniknya di rambut kini keunikan akan berlaku di tudung yang saya pakai. Apapun saya tetap menjaga penampilan supaya tidak tersasar daripada gaya seorang Muslimah.

“Teman-teman sekeliling juga sudah mula mendekati saya kerana mereka tahu saya masih Melly yang dulu disebabkan sebelum ini mereka takut saya berubah dan tidak mahu bergaul dengan sesiapa, hakikatnya penampilan saya yang berubah saya tetap Melly yang mudah didekati,” katanya.

Melly juga berkata, penghijrahan ini bukan alasan untuk dia membataskan aktiviti seni malah akan terus berkarya dalam menghasilkan lagu-lagu seperti biasa. Bezanya dia akan memastikan lirik yang dihasilkan tidak terlalu gila-gila dan lebih bersifat kehidupan.

Mengulas mengenai pembabitan­nya dalam me­nyanyikan lagu tema Cinta Ibadah, Melly berkata, pihak Astro menghubunginya lima bulan lalu untuk menyanyikan lagu tema berkenaan yang berjudul Cinta dan Ibadah ciptaan Melly sepenuhnya.

“Saya tertarik menyanyikan lagu tema cerita ini kerana ada sebuah kekuatan cinta luar biasa daripada seorang wanita. Kisah pengorbanan seorang wanita terhadap suami. Walaupun mungkin ia berlaku dalam kehidupan tapi tidak semua wanita mampu mengatasi­nya.

“Lagi pun dalam agama, cinta terhadap suami adalah ibadah yang perlu dijaga. Justeru melihat jalan ceritanya menarik saya untuk menerima tawaran me­nyanyikan lagu tema cerita ini,” katanya.

Cinta Ibadah adalah sebuah drama telenovela pertama terpanjang Astro yang bakal ditayangkan di saluran Astro Prima (saluran 105) dan Maya HD (saluran 135) pada 8 September depan pada setiap Isnin hingga Jumaat jam 5 petang.

Membabitkan ramai pelakon antaranya Aishah Ilias, Fattah Amin, Raja Ilya, Sherry Ibrahim, Nor Albaniah, Hi­syam Hamid, Shahronizam dan Ziema Din.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");