Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pihak yang bertanggungjawab dalam pergolakan yang dialami Selangor. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 16 Ogos, 2014:-
Pertelagahan kepimpinan yang berterusan di Selangor adalah disebabkan oleh cita-cita ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menawan Putrajaya, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana menteri paling lama Malaysia itu tidak ragu langsung Anwar adalah pihak yang bertanggungjawab dalam pergolakan yang dialami Selangor.
“Seluruh kisah bermula dengan Anwar apabila beliau memulakan ‘Langkah Kajang’. Anwar mahu menjadi perdana menteri Malaysia,” kata Dr Mahathir.
“Bagaimanapun, Anwar memerlukan sokongan bagi merealisasikan cita-cita beliau. Oleh itu, kedudukan menteri besar Selangor adalah batu loncatan untuk beliau.”
Pertikaian sengit sedang berlaku di Selangor antara Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Berikutan pemecatannya oleh PKR, Khalid meminta sokongan Sultan Selangor untuk mengekalkan kedudukannya sebagai menteri besar.
Khalid pula memecat lima ahli exco dari PKR dan DAP manakala seorang lagi anggota exco PKR mengemukakan surat peletakan jawatan.
“Bagi Anwar, kedudukan Menteri Besar adalah perkara kecil kerana sasaran yang lebih besar adalah kedudukan Perdana Menteri,” kata Dr Mahathir.
“Mungkin jika kita biarkan dia menjadi Perdana Menteri selama sebulan, dia mungkin berpuas hati. Tetapi masalahnya ialah sama ada Anwar bersedia untuk melepaskannya.
“Dengan kekayaan Selangor, Anwar mungkin boleh mempengaruhi ahli-ahli Parlimen untuk bertukar parti dan menyokong pembangkang.”
Dr Mahathir berkata pilihan raya semula di Selangor tidak akan menyelesaikan isu itu kerana Anwar hanya menumpukan matanya ke Putrajaya.
Dr Mahathir diminta mengulas mengenai keengganan Khalid untuk melepaskan jawatan menteri besar walaupun dipecat PKR.
“Ya, ia adalah jelas bahawa Khalid akan menentang hasrat parti itu. Tetapi ia adalah hak beliau,” katanya.
“Demokrasi bermakna kebebasan untuk dapat menyertai dan keluar dari mana-mana parti politik. Lagipun, Khalid juga merupakan bekas ahli Umno.” – 16 Ogos, 2014.
– The Malaysian Insider