Berita Hari Ini

Cukupkah tempoh untuk laksana GST?

gst

KUALA LUMPUR – Tinggal kurang lapan bulan sebelum Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan berkuatkuasa 1 April 2015.

GST bukan membebankan sebaliknya memberi manfaat kepada keseluruhan rangkaian bekalan daripada pengilang kepada pengedar, peruncit dan pengguna.

Di samping itu, GST juga akan membantu Malaysia mencapai taraf negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Sebenarnya GST telah diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak 17 bulan sebelum pelaksanaannya bagi memberi cukup ruang dan masa untuk pihak perniagaan melaksanakannya.

“Bukan mudah untuk melaksanakan GST dalam tempoh singkat kerana kita perlu mengajar sektor perniagaan dan orang awam tentang selok-belok GST ini dan manfaat untuk mereka,” Pengarah GST, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Subromaniam Tholasy memberitahu Bernama baru-baru ini.
    
Adakah masa mencukupi? 

Subromaniam berkata mengikut piawaian antarabangsa, GST perlu dilaksanakan dalam tempoh antara 12 hingga 24 bulan selepas tarikh pengumumannya.

“Sekiranya kita mahu melaksanakannya sejurus selepas 12 atau 14 bulan, ia sedikit tergesa-gesa.

“Itu sebabnya mengapa kita memerlukan beberapa bulan tambahan untuk memastikan sektor perniagaan benar-benar faham bagaimana GST beroperasi dan apa urus niaga yang boleh dituntut dan tidak boleh dituntut. Ini bahagian paling penting,” jelasnya.

Selain daripada itu, katanya lebih mudah melaksanakan GST pada bulan April kerana tidak ada akaun syarikat dibuka atau ditutup pada masa itu.

Lagi pun, tidak ada banyak peristiwa atau perayaan besar yang boleh mengalih tumpuan daripada GST, kata beliau.

Oleh yang demikian, tempoh yang diberi antara 12 hingga 24 bulan adalah mencukupi memandangkan ekosistem untuk GST sudah tersedia.

Pada masa sama, sektor perniagaan dan pengguna juga sudah maklum mengenai cukai itu dan lebih bersedia untuk menghadapi perlaksanaannya.

Perisian perakaunan

Subromaniam menjelaskan sektor perniagaan memerlukan lebih masa untuk membiasakan diri mereka dengan perisian perakaunan GST yang perlu menjana satu fail piawaian dikenali sebagai “Fail Audit GST”.

Untuk itu, sektor perniagaan perlu menggantikan perisian perakaunan mereka untuk memenuhi keperluan GST dan ini menjadikan pengiraan cukai lebih mudah.

“Menjelang April 2015, kita mampu menyelesaikannya dan mengajar mereka bagaimana untuk mengendalikan perisian ini,” kata beliau.

Sementara itu, pengerusi Institut Percukaian Berkanun Malaysia, S.M. Thanneermalai berkata sekiranya sektor perniagaan menggunakan perisian sedia ada, mereka perlu tahu bagaimana untuk memasukkan modul GST.

Tanpa modul GST, tugas mengumpul dan mengira bayaran cukai secara manual adalah rumit.

“Anda perlu menggunakan perisian GST kerana jika anda melakukannya secara manual, anda mungkin tidak mendapat maklumat yang mencukupi yang diperlukan pihak Kastam.

“Jika ada ada perisian GST ini, secara automatik ia akan menjana penyata cukai,” katanya.

Menurut beliau, penyata cukai itu mempunyai 24 bidang yang perlu diisi secara tepat, jika tidak ia dianggap tidak lengkap dan mungkin berdepan dengan penalti.

“Tak perlulah bersusah payah memasukkan banyak data kerana anda hanya perlu masukkan butiran invois dan dan perisian itu secara automatik akan mengira cukainya,” katanya.

Beliau berkata sektor perniagaan perlu tahu apakah bekalan yang boleh dikenakan cukai, barang yang sifar cukai atau dikecualikan cukai dan selepas itu perisian akan mengesan maklumat yang diperlukan untuk pengiraan GST.

“Sekiranya anda membeli sebarang perisian, tolong tanya mereka sama ada modul GST ini diluluskan Kastam atau tidak,” nasihat Thannermalai, yang juga pengarah eksekutif kanan, PricewaterhouseCoopers Taxation Services Sdn Bhd.

Tidak bertembung dengan audit penghujung tahun
    
Memandangkan ada tempoh masa yang disediakan sebelum perlaksanaan GST serta perisian memudahkan perlaksanaan GST, sektor perniagaan tidak perlu bimbang urus niaga dan pengiraan bertembung dengan audit kewangan atau penutup hujung tahun.

Pada masa sama, katanya audit perakaunan kewangan tiada kena mengena dengan GST dan sama sekali tidak berkait dengan audit hujung tahun.

Tambahan, kata Thanneermalai, pihak Kastam tidak akan mengaudit secara berjadual tetapi secara rambang.

“Syarikat dengan pusing ganti perolehan lebih daripada RM5 juta setahun perlu penyata secara bulanan dan yang kurang daripada RM5 juta, perlu berbuat demikian setiap tiga bulan,” tambahnya.

GST dijangka menghasilkan lebih banyak hasil cukai kepada kerajaan.

Menurut Pengarah Eksekutif, Tax Advisory and Management Services Sdn Bhd (TAMS) Yong Poh Chye, apabila GST dilaksanakan pada 1 April 2015, kerajaan boleh mengutip sebanyak RM23.1 bilion hasil cukai tahun depan dan itu hanya untuk tiga suku tahun 2015.

Oleh yang demikian, GST boleh membantu Malaysia mencapai lebihan belanjawan menjelang 2020.

Beliau berkata demikian di Persidangan GST Kebangsaan 2014 anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dengan kerjasama TAMS, baru-baru ini.  – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");