Membawang Hari Ini

Depan Mata: Minat Eddy membara

jamal edy

Pada 28 Ogos ini, Konsert Nostalgia Kemerdekaan ke-57 berlangsung di Istana Budaya (IB) sempena menyambut Hari Kemerdekaan ke-57 pada 31 Ogos ini.

Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah bergabung dengan penyanyi dari Indonesia, Eddy Silitonga menjayakan persembahan khas istimewa selama empat hari ini. Gandingan dua penyanyi ini sungguh istimewa kerana sama-sama memiliki vokal mantap yang tiada dua dan tiganya.

Bagi generasi muda mungkin tidak kenal atau tidak pernah mendengar nama Eddy Silitonga tetapi kalau diperdengarkan lagu Bunga Tanjung atau Fatwa Pujangga, tentu biasa mendengarnya.

Dalam usianya kini mencecah 63 tahun, Eddy masih terus menyanyi dan mengabadikan sebahagian besar hidupnya untuk seni. Seawal usia belasan tahun, anak keempat daripada 11 beradik ini bergelar Juara 1 Penyanyi Seriosa Sumatera Utara dan juga Juara Pop Singer di Medan.

Wajah dan suaranya juga tidak berubah, sama seperti ketika awal kemunculannya dulu, cuma usia makin bertambah setiap tahun.

Saya membesar dengan lagu Eddy sejak penghujung 1980-an. Daripada lagu irama Melayu seperti Bunga Tanjung, Fatwa Pujangga, Syurga di Telapak Kaki Ibu dan Oh Melati hinggalah lagu pop Biarlah Sendiri ciptaan Rinto Harapan.

Apabila Eddy berkunjung ke Malaysia, saya tidak lepaskan peluang menyaksikan persembahannya seperti Teratak Minang di Istana Budaya pada 2010.

Baru-baru ini apabila Jamal memilih Eddy menjayakan Konsert Nostalgia Kemerdekaan ke-57, hati berbunga-bunga untuk menghadiri sidang medianya, sekali gus menyaksikan konsertnya yang bakal berlangsung pada 28 hingga 31 Ogos ini.

Ketika bertemu Eddy pada sidang media mengumumkan konsert ini, minat menyanyi masih membara dalam jiwanya, malah masih memenuhi unda­ngan untuk persembahan tertutup bagi majlis perkahwinan atau ulangtahun kelahiran.

Kesihatannya juga baik dan masih menjaga stamina. Antara rahsianya yang sempat dikongsi bersama ialah tidak minum ais dan makanan pedas.

Katanya, kebetulan sejak dulu memang dia tidak suka minuman sejuk dan makanan pedas. Kata Eddy, dia tidak berpantang soal makanan, tetapi mengamalkan banyak minum air dan makan sayur.

Bukan hanya dikenali melalui lagu Melayu klasik tapi turut merakam lagu ciptaan Rinto Harapan, Biarlah Sendiri pada 1976.

Lagu itu juga membawa tuah kepadanya apabila menjuarai Festival Lagu Popular ke-4 yang berlangsung di Taman Ismail Marzuki Jakarta.

Penyanyi keturunan Batak kelahiran Pematang Siantar, Medan pada 17 November 1950 ini boleh menyanyi lagu Minang dan bergelar juara dalam pertandingan Lomba Lagu Minang pada 1983.

Pada hari konsert itu nanti, segmen khas tribute kepada Allahyarham Datuk Ahmad Jais dan lagu patriotik menggandingkan mereka berdua seperti lagu Lancang Kuning, Bahtera Merdeka, Di Ambang Sore, Lembaran Terakhir dan Gelisah.

Mereka kini giat menjalani latihan dan masing-masing turut memperkenalkan anak mereka di pentas nanti. Jamal bakal berduet dengan anaknya, Osama manakala Eddy bersama Marko, Mario dan Jiki.

-METRO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");