Jenayah

Dipenjara lima bulan kerana lupus harta curi

pnjara

KUALA TERENGGANU – Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini, semalam setelah mengaku salah melupuskan harta curi.

Tertuduh, Adenan Ahmad, 39, dari Tepoh didakwa melakukan kesalahan itu pada 19 Ogos lalu, kira-kira jam 5 petang di hadapan rumah tidak bernombor di Kampung Banggol Binjai Tepoh, di sini.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dengan sengaja telah melupuskan sebuah televisyen 32 inci, dengan mengetahui atau ada sebab untuk mempercayai harta itu harta curi, iaitu telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

Adenan yang berpakaian lokap polis, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi, manakala pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna.

Rozianti kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara lima bulan ke atas tertuduh, bermula dari tarikhnya ditangkap.

Berdasarkan fakta kes, seorang peniaga berusia 29 tahun dari Felda Belara telah membuat laporan polis tentang kejadian pecah masuk kedainya pada 19 Ogos lalu.

Pengadu telah balik ke rumahnya di Felda Belara kira-kira jam 3.30 pagi selepas selesai berniaga kedai makan di Kampung Gemuruh Tepoh dan meninggalkan kedainya dalam keadaan berkunci semuanya.

Bagaimanapun apabila pengadu ke kedainya semula kira-kira jam 6.30 petang pada hari sama, dia mendapati pintu hadapan dalam keadaan terbuka.

Dia kemudiannya masuk ke dalam kedai dan setelah membuat pemeriksaan, mendapati televisyen 32 inci dan tunai sebanyak RM20 telah hilang serta mengesyaki suspek melarikan diri melalui tandas kerana dinding tandas telah dipecah.

Tertuduh kemudiannya ditangkap pada hari yang sama. Hasil siasatan, dia mengaku seorang diri ke kedai makan milik pengadu dan memecah masuk.

Tertuduh juga mengaku mengambil satu televisyen LCD 32 inci dan wang tunai lebih kurang RM20 dalam kedai tersebut dan televisyen tersebut dijual dengan harga RM50.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");